Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Monash University Malaysia dan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) SPRM di sini, hari ini.

KUALA LUMPUR – Universiti di negara ini memainkan peranan penting sebagai rakan strategik dalam membantu penyelidikan berkaitan teknologi Kecerdasan Buatan (AI), tadbir urus dan pencegahan rasuah.

Ketua Pesuruhjaya Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, suruhanjaya itu memberi fokus kepada bidang teknologi AI kerana ia dapat membantu membangunkan modal insan dalam bidang seperti forensik digital, analitik data dan etika teknologi.

“Melihat kepada keperluan pada masa kini, SPRM perlu mendapatkan kepakaran daripada universiti dalam dan luar negara bagi meningkatkan keberkesanan usaha antirasuah.

“Usaha-usaha ini tidak akan berjaya tanpa pelaburan berterusan dalam bidang pendidikan, penyelidikan dan teknologi selain meningkatkan tahap kemahiran serta profesionalisme pegawai,” katanya.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki bercakap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Monash University Malaysia dan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) SPRM di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Monash University Malaysia dan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) SPRM di sini, hari ini.

Menerusi MoU itu katanya, SPRM akan memanfaatkan gabungan kekuatan pengalaman praktikal MACA SPRM dan kepakaran akademik universiti berkenaan bagi menghasilkan penyelesaian yang inovatif, realistik dan berimpak tinggi.

Tambah Azam, sebagai contoh, Monash University Malaysia boleh membantu SPRM menambahbaik sistem sedia ada dalam menyelesaikan kes-kes yang kompleks ketika ini sekali gus tempoh siasatan sesuatu kes dapat diselesaikan dengan cepat dan mengikut tempoh masa ditetapkan.

Selain itu jelasnya, SPRM berharap dapat memperolehi geran bagi pembangunan  teknologi AI menerusi kerjasama yang dimeterai antara MACA SPRM dan Monash University Malaysia.

Sementara itu, Presiden dan Pro Naib Canselor Monash University Malaysia, Profesor Emeritus Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman berkata, kerjasama ini dapat memberikan akses langsung kepada barisan hadapan serta mewujudkan satu platform kukuh untuk menterjemahkan kepakaran akademik kepada hasil praktikal yang relevan di peringkat nasional.

Ujar beliau, ia juga memberi peluang untuk menjalankan projek penyelidikan gunaan, dasar, latihan serta pengukuhan institusi khususnya membabitkan Pusat Pengajian Undang-Undang Komersial dan Kajian Kawal Selia, Monash University Malaysia.

Turut hadir Pengarah Kanan MACA SPRM, Datuk Mohd Hafaz Nazar, Pengarah Kanan Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN) SPRM, Datuk Idris Zaharudin dan Pengarah Bahagian Penyiasatan Tatakelola SPRM, Datuk Mohd Zaki Hassan.  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast