Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan.

DUSUN TUA – Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan menepis dakwaan kononnya aktiviti perkhemahan Glamping With Pride akan dijalankan di kawasan itu, hujung minggu ini.

Beliau menegaskan, telah bertemu dengan beberapa pemilik chalet di kawasan Hulu Langat dan mendapat pengesahan mereka bahawa tiada penganjuran acara yang didakwa menyokong aktiviti LGBT akan dilangsungkan di kawasan tersebut.

Beliau yang berpuas hati dengan perkembangan tersebut menambah, kebanyakan pengusaha chalet akan meneliti terlebih dahulu tentatif program oleh penganjur sebelum menerima dan mengesahkan sesuatu tempahan.

Malah katanya, beliau sendiri telah bertemu dengan ketua-ketua kampung dan mendapatkan maklum balas berhubung perkara tersebut serta membuat susun atur agar perkara keji seperti itu tidak akan berlaku di kawasannya.

“Saya dah pergi dah beberapa resort di kawasan ini dan saya dapati memang tidak ada booking (tempahan) daripada NGO yang menggelarkan diri mereka sebagai Jejaka yang mahu mempromosikan budaya hidup songsang ini.

“Kita di sini memang sama sekali menentang sekeras-kerasnya untuk perkara seperti itu berlaku di sini,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui di sini, hari ini.

Qowiy Village Langat, di Hulu Langat, Selangor. Foto SADIQ SANI, 12 JANUARI 2026

Mengulas lanjut, Mohd Sany berkata, beliau juga telah mendapatkan kerjasama daripada Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof yang menyatakan akan memantau secara rapat perkara itu memandangkan ia kini telah mendapat perhatian umum.

Ujarnya, beliau tetap memantau sehingga tarikh yang dinyatakan dalam hebahan iklan program itu dalam usaha mengelak ia daripada berlaku di bumi Hulu Langat ini.

“Andai kata pemilik-pemilik resort ini katalah ada tempahan daripada NGO-NGO sebegini, kita nak mintalah ditolak dan dipulangkan semula duit deposit itu.

“Kita tidak boleh menerima program-program atau aktiviti sebegini berlaku di kawasan Hulu Langat ini,” katanya.

Mohd Sany turut menegaskan turut mendapatkan kerjasama daripada semua ketua-ketua kampung di kawasan Hulu Langat supaya memaklumkan kepadanya jika terdapat sebarang aktiviti tidak sihat membabitkan penganjur program tersebut berlaku di resort-resort di kawasan mereka.

Bagi tujuan itu katanya, mereka boleh melapor menerusi kumpulan Whatsapp yang diwujudkan atau menghubunginya terus supaya tindakan segera dapat diambil.

Dalam pada itu Mohd Sany melahirkan rasa hati, andainya hebahan tersebut hanyalah satu tohmahan untuk memburukkan imej Hulu Langat yang merupakan sebuah pusat rekreasi dan pelancongan.

Katanya, sebagaimana yang sering di perkatakannya di dalam Parlimen bahawa kawasan Hulu Langat berpotensi untuk menjadi kawasan tarikan pelancong dan penyumbang besar dalam sector berkenaan di Selangor.

“Macam yang selalu saya katakanlah di Parlimen, Hulu Langat ni cuma tak ada laut je…kalua ada laut dah tentu boleh jadi pusat pelancongan terbesar.

“Tapi, kalau ia satu tohmahan untuk memburukkan imej kawasan ini, saya nak tanya apa yang mereka dapat buat semua itu. Saya dapat mungkin dapat pahala sikit daripada tuduhan yang dilemparkan…mungkinlah,” tambahnya.

Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan ketika melakukan pertemuan bersama Pengurus Operasi Resort Qowiy, Zainol Mat di Hulu Langat, Selangor. Foto SADIQ SANI, 12 JANUARI 2026

Sementara itu, Pengurus Operasi Resort Qowiy, Zainol Mat, terkejut apabila mendapati nama resortnya turut digunakan oleh NGO terbabit untuk mempromosikan aktiviti tidak sihat itu.

Sedangkan, selaku pengurus kawasan tersebut, beliau tidak tahu menahu berhubung perkara terbabit serta tidak menerima sebarang tempahan atau pertanyaan daripada penganjur.

Tambahnya, berdasarkan pengetahuan beliau, sesuatu tempahan yang diterima akan diteliti secara halus terlebih dahulu termasuk pengisian program yang akan dijalankan.

“Memang ada tempahan pada hujung minggu ini, tapi ia dari sebuah tabika di Jempol Negeri Sembilan dan satu lagi dari PPUM. Tak mungkinlah pengisian program mereka itu nanti dengan perkara-perkara tidak berfaedah,” katanya.

Beliau turut memberitahu, kawasan resort jagaannya juga telah beberapa kali dikunjungi pihak berkuasa sejak isu tersebut tular hingga mendapat perhatian banyak pihak.

Bagaimanapun, beliau menyatakan kepada polis untuk memberikan kerjasama penuh sekiranya mengesan ada aktiviti yang menyalahi agama dan undang-undang berlaku diresortnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast