JOHOR BAHRU – UMNO Johor menyelar kenyataan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor yang mendakwa kerajaan Johor mempratikkan budaya cash is king dalam menarik sokongan rakyat terutama menerusi Bantuan Kasih Johor (BKJ).
Ketua Penerangan UMNO Johor, Md Israk Abdullah berkata, kenyataan sedemikian bukan sahaja bersifat simplistik malah mencerminkan kegagalan Pejuang Johor memahami realiti tekanan kos sara hidup yang sedang dihadapi rakyat.
“Pertama, BKJ adalah dasar rasmi kerajaan negeri yang diluluskan melalui Belanjawan Johor dirangka secara bersasar berasaskan data dan melalui mekanisme pengesahan yang telus.
“Ia bukan keputusan populis, bukan tindakan bermusim dan jauh sekali alat politik seperti yang cuba digambarkan oleh Pejuang.
“Menuduh dasar kebajikan kerajaan sebagai helah politik adalah naratif malas yang sering dimainkan oleh pihak yang ketandusan idea dan rekod pencapaian,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, Ketua Penerangan Pejuang Johor, Suraya Sulaiman mendesak kerajaan negeri menghentikan budaya cash is king yang telah lama dijadikan pendekatan populis dan alat memancing sokongan politik.
Menurut Suraya, bantuan tunai yang berulang tanpa pelan jangka panjang hanya akan mewujudkan kebergantungan bukan memperkasakan rakyat contohnya BKJ.
“Lebihan fiskal negeri seharusnya digunakan secara strategik untuk mengurangkan hutang negeri, membangunkan infrastruktur berkualiti, menarik pelaburan bernilai tinggi, membuka peluang pekerjaan berpendapatan mampan serta memperkukuh sokongan kepada usahawan kecil dan sektor produktif.
“Sekiranya kewangan negeri berada pada tahap yang kukuh dan stabil, kerajaan juga wajar mempertimbangkan pengurangan cukai atau pemberian diskaun cukai secara berkala,” ujar Suraya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, Md Israk berkata, UMNO Johor menegaskan, kerajaan negeri tidak pernah meletakkan bantuan tunai sebagai penyelesaian tunggal kepada isu kemiskinan atau kesejahteraan rakyat.
BKJ, jelasnya, adalah langkah sokongan segera untuk memastikan rakyat tidak terus terhimpit sambil kerajaan secara konsisten melaksanakan agenda jangka panjang melibatkan penciptaan peluang pekerjaan, peningkatan kemahiran, pelaburan bernilai tinggi dan pembangunan ekonomi mampan.
“Mengabaikan konteks ini adalah satu bentuk ketidakjujuran intelektual,” ujarnya.
Ketiga pula, katanya, dakwaan bantuan itu hanya mewujudkan kebergantungan adalah retorik elitis yang terpisah daripada realiti rakyat di bawah.
Hakikatnya maklum balas daripada penerima di seluruh Johor menunjukkan BKJ telah membantu meringankan beban isi rumah, khususnya golongan berpendapatan rendah, warga emas dan keluarga rentan.
“Mudah bercakap soal beri joran bukan ikan tetapi rakyat yang berdepan kos sara hidup memerlukan sokongan segera sebelum mereka mampu berdiri lebih kukuh,” katanya.
Keempat, tambahnya, UMNO Johor ingin mengingatkan tadbir urus kerajaan negeri kekal berteraskan kehematan fiskal, ketelusan dan tanggungjawab.
Lebihan fiskal negeri tidak hanya disalurkan kepada bantuan kebajikan malah turut digunakan untuk pembangunan infrastruktur, menarik pelaburan strategik dan memperkukuh asas ekonomi negeri, katanya.
“Ini satu fakta yang sengaja diketepikan oleh Pejuang demi membina persepsi negatif. UMNO Johor menegaskan bahawa tidak semua perkara wajar dipolitikkan, lebih-lebih lagi dasar kebajikan yang jelas membantu rakyat dan menyokong kestabilan negeri.
“Rakyat Johor tidak memerlukan sindiran sarkastik atau cakap kosong, sebaliknya dasar yang realistik, kepimpinan yang bertanggungjawab dan keupayaan mentadbir dengan empati,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















