Mohd. Hakim Mohd. Nor, 39, didakwa atas pertuduhan menyalahguna harta membabitkan wang derma misi kemanusiaan bernilai lebih RM576,000.

MELAKA – Bekas Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim, Mohd. Hakim Mohd. Nor didakwa lagi atas pertuduhan menyalahguna harta membabitkan wang derma misi kemanusiaan bernilai lebih RM576,000 di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini.

Tertuduh berusia 39 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik enam pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut kesemua pertuduhan, tertuduh didakwa sebagai pengerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu secara tidak jujur telah menyalahgunakan harta milik Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim berjumlah keseluruhan RM576,995.40.

Wang berkenaan adalah wang derma bantuan misi kemanusiaan dengan kerjasama NGO di Myanmar, Yaman, Syria, Palestin.

Perbuatan dilakukan di Maybank Islamic Berhad Cawangan Merlimau dalam daerah Jasin di sini antara Jun 2019 hingga Mei 2021.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dan dengan sebat dan hendaklah juga dikenakan denda bagi setiap pertuduhan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan (Akta 574).

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muaz Ahmad Khairuddin dan Asmaa’ Zamri mencadangkan jaminan sebanyak RM200,000 mengambil kira jumlah keseluruhan wang terlibat serta keseriusan pertuduhan.

Peguam Azizul Shariman Mat Yusoff bagaimanapun merayu jumlah itu dikurangkan dan memberitahu ia terlalu tinggi malah anak guamnya mempunyai masa satu minggu sahaja bagi menyediakan wang jaminan.

Tambahnya, anak guamnya sebelum ini telah direman serta tanpa gagal hadir ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) beberapa kali apabila diminta untuk membantu siasatan.

“Tertuduh juga telah dituduh di Kuala Lumpur di bawah seksyen sama membabitkan nilai RM207,000 dan dibenarkan diikat jamin sebanyak RM10,000.

“Jika berdasarkan sifir sama, saya mohon jumlah RM20,000 hingga RM30,000 memadai untuk kes hari ini dan tertuduh juga akan dituduh di Mahkamah Sesyen Ipoh, Perak esok,” hujahnya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM35,000 bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan tarikh 13 Mac ini sebagai sebutan semula kes.

Semalam MalaysiaGazette melaporkan Mohd. Hakim mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap pertuduhan menyalahgunakan harta pertubuhan berjumlah RM207,000 berkaitan dana misi kemanusiaan luar negara, tujuh tahun lalu.

Sebelum ini, media melaporkan SPRM membongkar kegiatan penyelewengan dana sebuah NGO hasil sumbangan orang ramai dipercayai berjumlah RM26 juta.

Kegiatan penyelewengan dana itu terbongkar susulan tangkapan lima individu termasuk pengerusi, setiausaha, bendahari dan pegawai kewangan sebuah pertubuhan menerusi Op Serantau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast