KUALA LUMPUR – Kerajaan MADANI akan terus membulatkan tekad untuk memperkukuh urusan hal ehwal Islam secara inklusif dan berkesan melalui semangat musyawarah antara negeri, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Perdana Menteri, ia juga berpaksikan Perlembagaan Persekutuan serta didukung oleh nilai dan aspirasi Malaysia Madani, demi kesejahteraan umat dan keharmonian negara yang berpanjangan.
Terdahulu, Anwar menerusi laman sosial Facebook beliau berkongsi kehadirannya pada Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-74 yang dipengerusikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

“Titah dan nasihat Tuanku yang menekankan amanah kepimpinan, pemerkasaan pendidikan serta pengurusan hal ehwal Islam amat bermakna dan wajar dihayati bersama sebagai panduan dalam mendepani cabaran semasa di samping membina kekuatan nilai, ilmu dan nurani umat Islam di negara ini,” katanya.
Tambah Anwar, mesyuarat itu turut mencerminkan semangat muafakat dan kebersamaan antara Kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri dalam merangka pandangan serta keputusan strategik demi kepentingan umat Islam, selaras dengan keperluan semasa dan realiti masyarakat majmuk Malaysia. – MalaysiaGazette
















