JOHOR BAHRU – Johor menyasarkan kedatangan dua juta pelancong dari China tahun ini melalui dua pintu masuk udara utama iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Senai dan Lapangan Terbang Changi, Singapura sempena Tahun Melawat Johor (TMJ) 2026,
Pengarah Tourism Johor, Mohammad Nazrul berkata, sehingga November 2025, Johor merekodkan 1,778,396 ketibaan pelancong dari China menjadikannya pasaran antarabangsa ketiga terbesar negeri selepas Singapura dan Indonesia.
“Peningkatan ini didorong pengecualian visa antara Malaysia dan China serta pembukaan laluan penerbangan terus dari Senai ke Kunming oleh AirAsia.
“Berdasarkan statistik tahun lalu, kita menyasarkan sekitar dua juta pelancong China ke Johor pada tahun ini,” katanya pada Majlis Pelancaran Dokumentari Let’s Go Malaysia di sini, hari ini.
Nazrul berkata, usaha memperkukuh pasaran pelancongan China diperkasakan melalui dokumentari Let’s Go Malaysia, hasil kerjasama antara KMA Production Sdn. Bhd. dan Hunan International TV, salah satu stesen hiburan dan pelancongan paling berpengaruh di China.
Selain dokumentari itu katanya, kerajaan Johor juga merancang pembukaan beberapa lokasi tarikan baharu pada suku kedua tahun ini, termasuk Muzium Tokoh dan Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar, nselain terus memperkukuh produk ekopelancongan berasaskan komuniti seperti Eco Tourism Kampung Sungai Melayu.- MalaysiaGazette
















