JOHOR BAHRU – Polis membongkar sindiket pengedaran dadah yang aktif sejak Ogos lalu selepas menahan lima lelaki dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM1.45 juta dalam serbuan di Bukit Indah, Iskandar Puteri dekat sini Jumaat lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, serbuan tersebut dilakukan di sebuah rumah teres milik salah seorang suspek pada pukul 4.20 petang.
Menerusi serbuan tersebut polis menahan lima lelaki tempatan berusia 43 hingga 53 tahun dan polis berjaya merampas pelbagai jenis dadah termasuk syabu, MDMA, pil ekstasi serta ganja seberat 21.75 kilogram (kg) bernilai RM1.45 juta.
“Hasil siasatan lanjut mendapati sindiket ini mendapatkan bekalan dadah dari Lembah Klang untuk dipasarkan dalam negara dan dijual ke luar negara,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Katanya, modus operandi sindiket itu menjadikan rumah teres sebagai tempat menyimpan stok dadah sebelum diedarkan kepada pengguna tempatan dan ke negara jiran.
Beliau memberitahu, rumah teres satu tingkat itu dihuni oleh suspek pertama iaitu ketua sindiket dan suspek ketiga.
Ab Rahaman berkata, polis turut merampas kenderaan milik ahli sindiket antaranya Mercedes-Benz, Lexus, Toyota Camry, Honda Civic serta Proton X70.
Ujarnya, turut dirampas wang tunai RM270,150 serta satu bentuk cincin emas dan keseluruhan nilai sitaan RM616,010.
Menurut beliau, hasil semakan rekod lampau turut mendapati empat daripada lima suspek memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah, curi kenderaan, bunuh serta judi.
Hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine, katanya.
Semua suspek direman selama tujuh hari bermula 10 hingga 16 Januari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. MalaysiaGazette
















