APABILA kita melihat seorang anak mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran, pujian pertama biasanya dilemparkan kepada guru yang mengajar atau sekolah yang gah namanya. Namun, sedarkah kita di sebalik setiap gred A dan setiap piala yang dijulang, terdapat satu sistem sokongan yang jauh lebih besar dan kuat di belakangnya? Sistem itu bermula dari dalam rumah kita sendiri.
Pendidikan sebenarnya bukan sekadar tentang buku teks atau peperiksaan semata-mata. Jika kita melihat daripada perspektif seorang tokoh pemikir terkenal, Urie Bronfenbrenner, kehidupan seorang anak boleh diibaratkan seperti sebuah ekosistem yang saling berkait rapat. Beliau memperkenalkan Teori Ekologi yang menjelaskan perkembangan seorang manusia dipengaruhi oleh persekitaran di sekelilingnya. Dalam teori ini, lapisan yang paling dekat dan paling kuat pengaruhnya terhadap seorang anak ialah ‘Mikrosistem’, iaitu keluarga.
Keluarga merupakan unit terkecil dalam struktur masyarakat, namun ia adalah struktur yang bersifat fitrah. Sama ada kita hidup dalam keluarga nukleus yang kecil atau keluarga luas yang merangkumi datuk dan nenek, setiap interaksi yang berlaku di dalam rumah akan membentuk jati diri dan tahap pencapaian akademik anak-anak. Persoalannya, bagaimanakah persekitaran rumah boleh menjadi penentu masa depan pendidikan mereka?
Pertama, kita harus melihat kepada faktor keperluan asas. Merujuk kepada konsep piramid keperluan manusia, seorang anak tidak mungkin dapat memberikan tumpuan sepenuhnya di dalam kelas jika keperluan asasnya tidak dipenuhi. Sebelum mereka mampu mencapai tahap ‘penyempurnaan kendiri’ atau kecemerlangan akademik, mereka perlu berasa selamat, disayangi, dan mempunyai keperluan fizikal yang mencukupi seperti makanan dan rehat. Di sinilah peranan keluarga bermula menyediakan tapak yang stabil sebelum anak-anak melangkah keluar ke dunia luar.
Selain itu, latar belakang ekonomi dan pendidikan ibu bapa juga memainkan peranan yang signifikan. Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna anak daripada keluarga kurang berkemampuan tidak boleh berjaya. Apa yang lebih penting adalah ‘aspirasi’ atau cita-cita yang ditanam oleh ibu bapa. Ibu bapa yang mempunyai nilai yang tinggi terhadap ilmu, meluangkan masa berkualiti, dan sentiasa memberikan sokongan moral akan melihat kesan positif pada pencapaian anak-anak mereka. Penguasaan kemahiran asas seperti membaca, menulis, dan mengira (3M) sering kali bermula dari galakan di rumah, bukannya di papan hitam sekolah semata-mata.
Satu perkara yang sering terlepas pandang ialah keselarasan nilai antara rumah dan sekolah. Apabila nilai yang diajar oleh ibu bapa di rumah seiring dengan peraturan dan adab yang ditekankan oleh guru di sekolah maka anak-anak akan berasa lebih terdorong untuk berjaya. Konflik nilai akan timbul apabila apa yang dipelajari di sekolah, tidak diamalkan di rumah dan ini akan menyebabkan kekeliruan dan kegagalan akademik. Oleh itu, penglibatan ibu bapa dalam persatuan seperti PIBG bukan sekadar formaliti, tetapi jambatan penting untuk memastikan ‘ekosistem’ pendidikan anak sentiasa harmoni.
Persekitaran fizikal rumah juga menyumbang kepada mood pembelajaran. Lokasi rumah, keluasan ruang untuk belajar, serta kemudahan prasarana yang bersih dan teratur memberikan impak psikologi kepada kesejahteraan anak-anak. Anak yang membesar dalam suasana yang tenang dan kondusif akan mempunyai kesihatan mental yang lebih baik, yang seterusnya membawa kepada keputusan peperiksaan yang lebih memberangsangkan.
Kesimpulannya, mendidik anak-anak bukan tugas sekolah sendirian. Ia adalah satu usaha ‘gotong-royong’ antara ibu bapa, masyarakat, dan pihak berkuasa. Kejayaan seorang murid adalah cerminan kepada kualiti hubungan dan sokongan yang mereka terima di rumah.
Sebagai ibu bapa, sedarilah kitalah arkitek pertama dalam membina masa depan mereka. Jangan hanya mengejar keputusan yang cemerlang di atas kertas, tetapi binalah ekosistem kehidupan yang sihat agar mereka membesar menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa, dan negara. Pendidikan bermula di rumah, dan kitalah gurunya yang paling utama.

Sopna N Anpazagan
Pendidik di IPG Kampus Ilmu Khas, Cheras
















