MELAKA – Pekerja sebuah hotel di Malim Jaya di sini yang tular mempromosikan hubungan sejenis lesap, malah premis dibiarkan kosong tidak berkunci ketika diserbu pihak berkuasa pagi tadi.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datuk Sapiah Harun berkata, sehubungan itu, pihaknya bertindak menutup premis berkenann ketika operasi yang turut disertai penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) bermula jam 11 pagi.
Menurutnya, pemeriksaan di hotel 37 bilik itu mendapati ia seperti ditinggalkan dalam keadaan tergesa-gesa selepas kesnya tular sejak semalam.
“Pengurus premis ketika dihubungi pada awalnya memaklumkan dalam perjalanan, namun tidak tiba sehingga operasi selesai hampir dua jam kemudian pada jam 1 tengah hari
“Pemeriksaan lanjut di dalam salah sebuah bilik hotel yang tidak berkunci menemukan dua kotak kondom yang telah digunakan di dalam tong sampah, namun tiada individu dapat dikenal pasti,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Susulan itu, Sapiah berkata, MPHTJ mengambil tindakan segera dengan membawa lesen premis berkenaan ke pejabat bagi tujuan siasatan dan tindakan penguatkuasaan lanjut.
“Berdasarkan undang-undang kecil pelesenan pihak berkuasa tempatan, terdapat klausa yang membolehkan lesen ditarik sekiranya premis menjalankan atau mempromosikan aktiviti tidak bermoral.
“Pemilik akan dipanggil untuk memberi penjelasan dan sekiranya gagal meyakinkan pihak berkuasa dengan menandatangani aku janji, kita bercadang menarik semula lesennya yang akan di bawa ke Mesyuarat Penuh MPHTJ pada 27 Januari ini,” katanya.
Terdahulu, MalaysiaGazette hari ini melaporkan tular satu hantaran di media sosial mendakwa kewujudan sebuah hotel berkonsepkan ‘gay friendly’ yang mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan warganet sejak semalam.

Menerusi hantaran ditulis pendakwah bebas itu, Firdaus Wong Wai Hung, beliau membangkitkan persoalan mengenai trend penjenamaan perniagaan menggunakan label ‘friendly’.
Penceramah itu turut membandingkan konsep ‘gay friendly’ bersama istilah lain seperti ‘pet-friendly’, ‘family friendly’ dan ‘Muslim friendly’ yang menurutnya kini dijadikan strategi penjenamaan perniagaan.
Perkongsian itu turut mengundang pelbagai reaksi netizen, termasuk pandangan yang mengkritik keras konsep tersebut, selain ada yang terkejut dengan keterbukaan menerima Golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) itu. – MalaysiaGazette
















