PEKAN – Seorang peniaga kerugian hampir RM100,000 ditipu tawaran tender membekal 60 buah kerusi dan meja stainless steel dengan harga lebih rendah.
Menurut Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin, lelaki berusia 44 tahun itu menerima panggilan daripada seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai seorang guru bernama ‘Puan Hatsya’ pada 8 Januari lepas.
“Seterusnya pengadu ditawarkan tender berkenaan. Terpedaya dengan tawaran itu, pengadu telah berurusan dengan pembekal melalui aplikasi WhatsApp dan bersetuju untuk membuat pembayaran pendahuluan sebanyak 25 peratus.
“Kemudian, pengadu telah memindahkan wang simpanannya secara berperingkat sebanyak 14 transaksi ke akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhan RM97,500,” katanya dalam kenyataan.
Jelas Mohd Zaidi, setelah mengsa membuat pindahan wang tersebut, mangsa hadir ke Pejabat Kementerian Pendidikan Negeri Pahang untuk menerima cek seperti perjanjian tetapi tiada siapa yang datang.
Mangsa kemudian bertanya kepada pegawa di jabatan itu untuk pengesahan dan mendapati tiada nama tender seperti yang dinyatakan.
“Mangsa mula menyedari telah ditipu dan segera datang ke balai polis untuk membuat laporan bagi tindakan seterusnya. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya lagi.
Justeru, Mohd Zaidi menasihati orang ramai yang menerima panggilan yang meragukan agar segera membuat semakan dengan pihak polis atau agensi kerajaan sebelum melakukan sebarang transaksi. – MalaysiaGazette
















