KUALA LUMPUR – Pemimpin Pas tidak perlu berasa pelik sekiranya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengundang parti itu untuk bergabung dalam organisasi yang memfokuskan agenda Islam.
Ini kerana, kata Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO (MUU), Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali, sebarang permuakatan mestilah untuk maslahat Islam, bukan hanya untuk kepentingan parti semata-mata.
Menurut beliau, sekiranya Pas dan UMNO memperjuangkan Islam dalam berpolitik, maka kedua-dua parti itu wajar bergabung atas nama Islam demi kepentingan Islam.
Jelas beliau, ia pula nanti membuka jalan untuk muafakat parti politik yang sedang ditawarkan oleh Pas kepada UMNO.
“Agenda Islam bukan hanya agenda politik kepartian. Ia adalah agenda kerajaan oleh kerajaan perpaduan. Kalau perpaduan ummah yang kita dambakan mari kita bergabung demi Islam bukan hanya demi parti,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Beliau yang juga Penasihat Agama kepada Timbalan Perdana Menteri mengulas kenyataan Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad yang mempersoalkan kesediaan Ahmad Zahid mengundang Pas untuk bergabung dalam sebuah organisasi yang memfokuskan agenda Islam di luar politik dan cadangan itu pula diluluskan dalam Kabinet.
Menurut Mohd Khairuddin, Pas juga tidak perlu berasa pelik apabila agenda Islam dilaksanakan dengan persetujuan Kabinet kerana UMNO hari memacu secara bersama Kerajaan Perpaduan.
Sehubungan itu, katanya, sebarang agenda kerajaan hendaklah menerusi kelulusan Kabinet.
Jelas beliau, apabila Kabinet telah memutuskan satu organisasi demi masalahat Islam, ertinya seluruh ahli kabinet termasuk DAP telah bersetuju.
“Sekali lagi, agenda Islam adalah agenda berkerajaan bukan hanya agenda parti.
“Inilah beza UMNO yang berkerajaan dengan Pas yang menjadi pembangkang di peringkat Persekutuan,” katanya.
Sehubungan itu, Mohd Khairuddin mengajak Pas bersama-sama mendukung apa sahaja inisiatif yang boleh memperkasakan Islam dalam negara kerana ia merupakan titik perjuangan bersama.
“Apa pun YB Ustaz, sabar dulu. Tunggulah apa yang nak diumumkan oleh Presiden UMNO pada sabtu nanti.
“Saya jemput YB Ustaz mengikuti rapat penggulungan nanti,” katanya. – MalaysiaGazette
















