Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Simposium Politik Era Digital 2026 sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 14 JANUARI 2026.

KUALA LUMPUR – UMNO perlu keluar daripada kepompong lama kerana dunia politik hari ini telah berubah berbanding kekuatan yang dimiliki parti keramat orang Melayu itu menerusi komunikasi secara bersemuka dengan rakyat sebelum ini.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini kerana perubahan sudah melanda pemikiran masyarakat terutama di kalangan generasi yang lahir 2008 dan berada di bawah umur 40 yang memiliki perbezaan minda.

Menurut beliau, sejarah juga telah membuktikan medium komunikasi baharu seperti TikTok telah memberi impak besar kepada kemenangan pemimpin dunia seperti Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, Perdana Menteri Narendra Modi dan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto.

“Dunia telah berubah, dulu apa yang disebut oleh Datuk Seri Azalina (Othman), face to face communication, komunikasi bersemuka. Itu adalah kelebihan kita.

“Ini apabila generasi yang lahir 2008 dan generasi yang berada di bawah umur 40, mindanya berbeza dengan minda yang besar daripada kita. Inilah suatu realiti yang kita wajib hadapi.

“Kita lihat bencinya pengundi-pengundi Amerika Syarikat kepada Donald Trump, sangat-sangat luar biasa dan tidak ramai yang menjangkakan Trump boleh menang, malah Trump sangat marah kepada TikTok.

“Dan beliau berjanji kalau beliau menang, TikTok akan diharamkan. Jelas apabila TikTok sebagai medium of new communication untuk memenangkan beliau. TikTok sampai sekarang tidak diharamkan, ertinya kemenangan Trump dibantu oleh TikTok dan oleh sosial media yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Simposium Politik Era Digital 2026 di Dewan Tun Hussien Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hadir pada Simposium Politik Era Digital 2026 sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 14 JANUARI 2026.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid menambah,  hari ini komunikasi tanpa lisan menguasai 82 peratus daripada sistem komunikasi di negara ini.

Jelas beliau, hanya berapa peratus sahaja yang menggunakan komunikasi lisan bagaimana yang sedang dilakukan sekarang ini iaitu sekitar 18 peratus.

“Ini hakikat, itulah yang ditekankan oleh Datuk Seri Azalina. Kita mesti keluar daripada kepompong lama.

“Kita mempunyai ketua penerangan di peringkat negeri di peringkat bahagian dan peringkat cawangan. Dan kita tahu pengaruh di kalangan tokoh-tokoh kita di dalam bidang sosial media ini hanya boleh dibilang dengan jari,” katanya.

Sementara itu, PAU 2025 akan menyaksikan kira-kira 6,400 perwakilan UMNO dari 191 bahagian akan berkampung di WTC bermula hari ini hingga Sabtu ini.

Seperti tahun lalu, perhimpunan itu akan membuka tirainya dengan perasmian serentak sayap UMNO di Dewan Merdeka WTC malam ini yang dijadual disempurnakan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Himpunan PAU 2025 kali ini dijangka memeta hala tuju UMNO dalam mendepani Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) yang mungkin berlangsung lebih awal jika kerajaan mahu tiga Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka, Sarawak serta Johor dijalankan secara serentak.

Tirai PAU 2025 secara rasmi akan dibuka apabila empat bendera ‘Sang Saka Bangsa’ sudah berkibar di perkarangan Plaza Merdeka, WTC, pada pagi Jumaat ini.

Acara bermula 8.00 pagi itu akan dimulakan dengan upacara menaikkan tiga bendera keramat parti itu oleh ketiga-tiga sayap UMNO, diiringi lagu Wanita, seterusnya Pergerakan Pemuda dan diikuti Pergerakan Puteri UMNO.

Ini kemudian disusuli dengan nyanyian lagu parti Bersatu, Bersetia, Berkhidmat sebaik ‘Sang Saka Bangsa’ sempurna dikibarkan Presiden UMNO yang turut diiringi pimpinan parti itu.

Jurucakap UMNO mewakili setiap negeri akan menyampaikan perbahasannya mengupas usul ucapan dasar presiden sebaik Ahmad Zahid selesai menyampaikan ucapan dasarnya, sebelum disambung pada keesokan harinya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast