MELAKA – Seorang buruh binaan lelaki warga India mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan mencabul pemandu e-hailing lelaki berusia 65 tahun, Disember lalu.

Tertuduh, M Muthupalani, 42, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Uthman Abd Ghani sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa lelaki tempatan berusia 65 tahun dengan niat untuk mencabul kehormatannya.

Kesalahan itu didakwa berlaku sekitar jam 9.25 malam 29 Disember 2025, ketika berada di dalam sebuah kereta Perodua Bezza dalam perjalanan dari NSK Cheng ke Medan Selera Cheng dalam daerah Melaka Tengah.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Syauqi Mardia Baharudin mencadangkan jaminan sebanyak RM7,000.

Bagaimanapun, peguam tertuduh, S Daniel merayu jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya menanggung dua orang anak, isteri tidak bekerja, selain ibu bapa yang uzur di India.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 3 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast