JOHOR BAHRU – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 pada 14 hingga 17 Januari ini sepatutnya diadakan selepas minggu sekolah dibuka.
Ahli Majlis Pimpinan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor, Ahmade Mohd Din berkata, PAU 2026 berlangsung serentak dengan minggu buka sekolah memberi kesukaran kepada ibu bapa terutama yang mahu mendapatkan pengesahan dokumen.
“Akibat daripada jadual ini, beberapa urusan rasmi rakyat termasuk dokumen kebenaran ketua kampung untuk naik sekolah telah tertangguh kerana majoriti ketua kampung yang juga Ketua Cawangan UMNO menghadiri PAU.
“Situasi ini menjejaskan kelancaran pentadbiran kampung dan menimbulkan kesulitan kepada ibu bapa serta pelajar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, secara teori pegawai kerajaan berjawatan, penghulu mukim atau wakil masyarakat boleh mengesahkan dokumen.
Namun realitinya kata beliau, masyarakat dan pihak sekolah lebih mengenali serta mengiktiraf ketua kampung sebagai autoriti utama di tempat masing-masing.
Justeru katanya, ketiadaan mereka pada minggu kritikal ini menyebabkan urusan rakyat tergendala.
“Pejuang Johor berpandangan bahawa PAU sepatutnya dijadualkan selepas minggu buka sekolah, sekurang-kurangnya seminggu kemudian, bagi memastikan kepentingan rakyat tidak terganggu,” ujarnya .
Parti politik menurutnya, perlu menunjukkan keutamaan kepada rakyat dengan memastikan agenda dalaman tidak menjejaskan hal asas masyarakat, khususnya pendidikan anak-anak.
Pejuang Johor menyeru semua pihak agar mengutamakan rakyat terlebih dahulu dan memastikan jadual politik disusun dengan lebih peka terhadap keperluan masyarakat.- MalaysiaGazette
















