KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan selamat bersidang kepada semua pimpinan dan perwakilan sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025.
Beliau berharap, persidangan kali ini berlangsung dengan tertib, penuh wacana yang bernas berlandaskan kepada rakyat serta menyumbang pengukuhan perpaduan nasional.
“Dalam landskap politik dan ekonomi yang kian mencabar, kekuatan sebenar tidak lahir daripada perbezaan yang terus dipicu, sebaliknya daripada kesepaduan yang diperkukuh, kebijaksanaan yang diraikan, serta iltizam bersama untuk mendahulukan kepentingan rakyat dan negara,” tulisnya di media sosial.
Ujarnya, Malaysia memerlukan politik yang matang dan sentiasa berteras kepada muafakatdan keupayaan.
“Untuk bekerja bersama demi kestabilan, kemakmuran serta masa depan yang lebih adil dan inklusif buat seluruh rakyat,” tambahnya.
PAU 2025 akan menyaksikan kira-kira 6,400 perwakilan UMNO dari 191 bahagian akan berkampung di WTC bermula hari ini hingga Sabtu ini.
Perhimpunan itu akan membuka tirainya dengan perasmian serentak sayap UMNO di Dewan Merdeka WTC pada malam ini yang dijadual disempurnakan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.- MalaysiaGazette















