Datuk Suraya Yaacob.

KUALA LUMPUR – Setiausaha Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Suraya Yaacob berpendapat, gerak kerja penerangan hari ini menuntut peranan lebih strategik dan mendahului dalam membentuk naratif politik selari dengan perubahan landskap komunikasi semasa.

Ketua UMNO Bahagian Pendang itu berkata, pendekatan konvensional dalam menyampaikan maklumat tidak lagi mencukupi memandangkan medan politik sudah beralih ke platform digital dan media sosial.

“Penerangan UMNO memahami satu hakikat penting bahawa politik hari ini tidak lagi dimenangi hanya dengan niat yang betul tetapi naratif, masa dan melalui saluran yang betul menggunakan segala alat digital untuk menganalisa sentimen serta menentukan garis komunikasi yang bersasar.

“Hari ini medan politik tidak lagi hanya di pentas ceramah atau halaman akhbar. Ia hidup di telefon bimbit rakyat, di algoritma media sosial dan di persepsi yang dibentuk sebelum fakta sempat dijelaskan.

“Dalam realiti ini, penerangan tidak boleh lagi bersifat reaktif. Kita tidak boleh hanya menjawab selepas diserang, tidak boleh sekadar menafikan tanpa membina kefahaman sebaliknya penerangan mesti memimpin naratifnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Simposium Politik Era Digital 2026 yang diadakan di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini.

Simposium ini diadakan sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 turut hadir Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Penerangan UMNO Datuk Seri Azalina Othman Said; ketua-ketua penerangan negeri dan jentera penerangan bahagian seluruh negara.

Mengulas lanjut, Suraya berkata, Simposium Politik Era Digital 2026  diadakan bagi
membentuk kefahaman bersama terhadap keperluan komunikasi politik yang tepat, tersusun dan berpaksikan naratif yang sesuai dengan sentimen rakyat

Beliau berkata, pendekatan komunikasi dalam parti perlu mengambil kira realiti berbeza di setiap negeri yang mempunyai cabaran politik tersendiri.

Menurutnya, semua itu menuntut satu keupayaan yang sama iaitu disiplin komunikasi dan kematangan naratif di mana ada negeri yang berdepan dominasi populisme agama dan emosi.

“Ada negeri yang memerintah tetapi prestasinya tidak difahami rakyat malah ada yang berada dalam kerajaan campuran di mana identiti UMNO perlu dijaga tanpa menjejaskan kestabilan.

“Namun perbincangan hari ini bukan untuk mencari slogan baru, tetapi untuk menjawab soalan yang lebih besar. Datanglah dengan fikiran terbuka, keberanian untuk mengakui kelemahan dan dengan kesediaan untuk belajar antara satu sama lain.

“Kerana kekuatan penerangan UMNO bukan terletak kepada seorang individu, tetapi kepada kesepaduan pemikiran dan disiplin tindakan seluruh jentera.

“Saya yakin apabila kita melangkah keluar dari dewan hari ini, kita bukan sahaja lebih faham cabaran yang dihadapi, tetapi lebih yakin dengan peranan kita sebagai penerangan UMNO dalam menghadapi medan politik era digital masa kini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast