Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengakui beliau mempunyai kuasa veto terhadap pelantikan dan penyingkiran Pengarah SRC International Sdn Bhd, namun menegaskan beliau tidak memulakan pelantikan tersebut.

Malah, beliau menegaskan tidak mengenali secara peribadi beberapa individu yang dilantik, termasuk bekas Pengarah Urusan SRC, Nik Faisal Ariff Kamil.

Perkara itu didedahkan semasa pemeriksaan balas oleh peguam mewakili SRC International dan Gandingan Mentari Sdn Bhd, peguam Kwan Will Sen selaku plaintif  dalam prosiding saman sivil terhadap Najib di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Najib, yang juga bekas Menteri Kewangan setuju beberapa peruntukan dalam Perlembagaan SRC, termasuk Artikel 67, 92, 95 dan 116, mensyaratkan kelulusan bertulis perdana menteri bagi pelantikan dan penyingkiran pengarah, pengarah urusan, pengurusan kanan serta sebarang pindaan kepada memorandum dan artikel syarikat.

Bagaimanapun, beliau berulang kali menegaskan peranan itu bersifat kelulusan dan veto, bukan sebagai pihak yang memulakan atau mencadangkan pelantikan.

“Saya bertindak dalam kerangka undang-undang dan Perlembagaan syarikat. Saya tidak memulakan pelantikan.

“Kelulusan saya adalah untuk memformalkan pelantikan yang dikemukakan,” katanya selaku defendan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan petang ini.

Dalam pemeriksaan balas, Will Sen meneliti Artikel 67 Perlembagaan SRC yang menyatakan sebarang pelantikan atau penyingkiran pengarah tidak boleh dimuktamadkan tanpa kelulusan bertulis perdana menteri, namun tidak menyatakan secara jelas proses pelantikan mesti dimulakan oleh lembaga pengarah.

Najib mengakui peruntukan itu tidak menyebut secara literal tentang proses permulaan pelantikan namun menegaskan penglibatan lembaga atau pengurusan adalah tersirat.

“Ia mesti datang daripada seseorang. Saya tidak mengenali semua individu yang dinamakan, jadi saya tidak boleh menjadi pihak yang memulakan pelantikan,” tegasnya.

Will Sen kemudian membandingkan Artikel 67 dengan Artikel 92 yang secara jelas menyatakan lembaga pengarah boleh melantik pengarah urusan dengan kelulusan bertulis Perdana Menteri juga Artikel 95 yang memperuntukkan lembaga bertanggungjawab melantik pengurusan kanan, tertakluk kepada kelulusan Perdana Menteri bagi penamatan perkhidmatan.

Najib bersetuju Artikel 92 dan 95 lebih jelas memperincikan peranan lembaga, namun menegaskan Artikel 67 tetap meletakkan kuasa beliau sebagai kelulusan terakhir dengan kuasa veto.

Mahkamah turut dirujuk kepada surat bertarikh 1 Ogos 2011 yang ditandatangani Najib, yang melantik lima individu sebagai ahli Lembaga Pengarah SRC, termasuk melantik Nik Faisal Ariff Kamil sebagai pengarah urusan.

Selain Nik Faisal, nama lain termasuk Tan Sri Ismee Ismail, Datuk Suboh Md Yassin, Che Abdullah @ Rashidi Che Omar dan Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi sebagai Ahli Lembaga Pengarah SRC.

Najib mengesahkan beliau menandatangani surat pelantikan tersebut, namun menegaskan pelantikan itu bukan hasil inisiatif peribadinya.

“Saya tidak mengenali Nik Faisal. Beliau dicadangkan kerana dikatakan sesuai dan berkelayakan untuk jawatan pengarah urusan,” ujarnya.

Beliau turut memberitahu mahkamah tidak mengenali secara peribadi Che Abdullah Rashidin, salah seorang pengarah yang dilantik dan keadaan itu menunjukkan nama-nama berkenaan dikemukakan kepadanya oleh pihak lain sebelum kelulusan diberi.

Najib bersetuju beliau mempunyai pilihan untuk tidak meluluskan pelantikan tersebut namun mendakwa dirinya tidak mempunyai sebab untuk menolak nama-nama yang dikemukakan kepadanya.

Prosiding pemeriksaan balas turut menyentuh pindaan kepada Perlembagaan SRC pada 2012 yang memperkenalkan Artikel 117, iaitu pelantikan Perdana Menteri sebagai ‘Penasihat Emeritus’ syarikat.

Najib mengesahkan beliau meluluskan pindaan itu selepas ia dikemukakan kepadanya dan seterusnya memegang jawatan tersebut, namun menegaskan jawatan itu tidak memberi kuasa mengikat terhadap lembaga pengarah.

Menurutnya, peranan Penasihat Emeritus hanyalah memberi nasihat mengenai perkara material dan kepentingan strategik dan lembaga hanya perlu memberi pertimbangan wajar serta melaksanakan nasihat itu sekiranya ia selaras dengan kepentingan terbaik syarikat.

Prosiding perbicaraan akan bersambung pada 21 Januari depan.

SRC International, di bawah pengurusan baharu memfailkan saman itu pada Mei 2021, atas dakwaan Najib telah melakukan pecah amanah jenayah, salah guna kuasa dan memperoleh ganjaran peribadi daripada dana syarikat itu selain melakukan penyelewengan terhadap dana berkenaan.

Plaintif juga menuntut deklarasi mahkamah bahawa Najib adalah bertanggungjawab bagi kerugian yang dialami oleh syarikat itu akibat pelanggaran tugas serta amanah beliau dan menuntut supaya beliau membayar balik kerugian yang dialami berjumlah RM42 juta. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast