Seorang pemandu ditahan dan dikenakan saman serta lorinya disita kerana memandu secara berbahaya di Jalan Perani-Lok Heng, Kota Tinggi

KOTA TINGGI – Pemandu yang membawa lori hingga membahayakan kenderaan lain di Kilometer 7.0 Jalan Perani-Lok Heng di sini menyerah diri dan dikenakan saman hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, pemandu itu merupakan lelaki tempatan berusia 26 tahun dan dikenakan tindakan saman di bawah Kaedah 3(1) Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959.

“Lori jenis sinotruck juga disita di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987. Ujian saringan air kencing turut dilakukan dan keputusan adalah negatif,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, sebelum itu Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kota Tinggi terkesan satu paparan video kejadian berkenaan yang tular dalam Facebook.

Menurutnya, video yang tular itu memaparkan sebuah lori memandu secara berbahaya petang semalam.

Jelasnya, video itu memaparkan pemandu lori telah memasuki laluan bertentangan sehingga menyebabkan kenderaan dari arah bertentangan terpaksa mengelak.

Dalam pada itu, pihaknya menasihatkan orang ramai supaya memandu secara berhemah dan patuhi undang-undang serta peraturan-peraturan yang ditetapkan demi menjaga keselamatan di jalan raya.

“Sikap pemanduan secara berbahaya bukan sahaja mengundang tindakan undang-undang, malah boleh mengakibatkan kemalangan dan kehilangan nyawa,” katanya.

Terdahulu tular rakaman video berdurasi satu minit 48 saat dengan kapsyen yang mengingatkan pemandu agar berhenti di tepi jalan sekiranya mengantuk bagi mengelak bahaya kepada kenderaan lain.

Berdasarkan rakaman tersebut, lori tipper terbabit dilihat dipandu secara tidak stabil sebelum memasuki laluan bertentangan.

Keadaan itu menyebabkan beberapa kenderaan dari arah hadapan terpaksa mengelak ke tepi jalan bagi mengelakkan perlanggaran.- MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast