Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan melakukan gimik pelancaran AI ChatBot Umno selepas hadir Taklimat Presiden sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 14 JANUARI 2026.

KUALA LUMPUR – Beberapa isu semasa yang melibatkan hala tuju serta kedudukan parti dijangka disentuh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan dasarnya yang dijadualkan disampaikan pada Jumaat ini.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, antara isu itu termasuk hubungan UMNO dengan rakan politik seperti Muafakat Nasional (MN), Konvensyen Pemuda UMNO selain perkembangan politik semasa termasuk Pilihan Raya Negeri Sabah.

Bagaimanapun, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahangitu hanya memberi bayangan awal dan meminta semua pihak bersabar menunggu penjelasan penuh yang akan disampaikan oleh presiden dalam ucapan dasar semasa perhimpunan nanti.

“Beberapa isu itu akan disampaikan oleh Presiden dalam ucapan dasar dengan lebih terperinci lagi antaranya perkara biasa hubungan kita yang disentuh dan berlegar di kalangan kita, dengan MN, isu Konvensyen Pemuda UMNO dan pilihan raya Sabah.

“Tapi kita tunggu pada Jumaat ini,” katanya.

Beliau ditemui selepas menghadiri Taklimat Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2025 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) yang diadakan secara tertutup di sini, hari ini.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin bercakap kepada media selepas hadir Taklimat Presiden sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 14 JANUARI 2026.

Sementara itu, seorang lagi MKT UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan pula mengambil pendirian untuk tidak mendedahkan sebarang kandungan ucapan dasar tersebut lebih awal.

“Saya minta maaf. Apabila ia tertutup, maka ia kekal tertutup,” katanya.

Sementara itu, PAU 2025 akan menyaksikan kira-kira 6,400 perwakilan UMNO dari 191 bahagian akan berkampung di WTC bermula hari ini hingga Sabtu ini.

Seperti tahun lalu, perhimpunan itu akan membuka tirainya dengan perasmian serentak sayap UMNO di Dewan Merdeka WTC malam ini yang dijadual disempurnakan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Himpunan PAU 2025 kali ini dijangka memeta hala tuju UMNO dalam mendepani Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) yang mungkin berlangsung lebih awal jika kerajaan mahu tiga Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka, Sarawak serta Johor dijalankan secara serentak.

Tirai PAU 2025 secara rasmi akan dibuka apabila empat bendera ‘Sang Saka Bangsa’ sudah berkibar di perkarangan Plaza Merdeka, WTC, pada pagi Jumaat ini.

Acara bermula 8.00 pagi itu akan dimulakan dengan upacara menaikkan tiga bendera keramat parti itu oleh ketiga-tiga sayap UMNO, diiringi lagu Wanita, seterusnya Pergerakan Pemuda dan diikuti Pergerakan Puteri UMNO.

Ini kemudian disusuli dengan nyanyian lagu parti Bersatu, Bersetia, Berkhidmat sebaik ‘Sang Saka Bangsa’ sempurna dikibarkan Presiden UMNO yang turut diiringi pimpinan parti itu.

Jurucakap UMNO mewakili setiap negeri akan menyampaikan perbahasannya mengupas usul ucapan dasar presiden sebaik Ahmad Zahid selesai menyampaikan ucapan dasarnya, sebelum disambung pada keesokan harinya. – MalaysiaGazette

Ahli Majlis Kerja Tertingi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan selepas hadir Taklimat Presiden sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 14 JANUARI 2026.

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast