Nurulhidayah Ahmad Zahid bersama Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

KUALA LUMPUR – Mendukung kepimpinan UMNO yang berada dalam Kerajaan Perpaduan merupakan satu tanggungjawab besar.

Exco Wanita UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid berkata, sokongan itu bukan bermakna membuta-tuli, tetapi memberi ruang kepada kepimpinan melaksanakan amanah, sambil menegur dengan hikmah dan kesetiaan.

Jelasnya, kepimpinan yang diganggu dari dalam tidak akan mampu berfungsi dengan berkesan, dan akhirnya rakyat yang menjadi mangsa.

Tambah beliau, walaupun tidak lagi menjadi parti dominan seperti dahulu, UMNO tetap memegang amanah kuasa melalui penyertaan dalam Kerajaan Perpaduan.

“Amanah ini bukan kecil nilainya. Ia adalah ruang untuk membuktikan keupayaan memimpin, berkhidmat dan memulihkan kepercayaan rakyat.

“Untuk memaksimumkan amanah kuasa yang sedia ada, UMNO mesti memimpin dengan prestasi (performance).

“Setiap menteri, timbalan menteri dan wakil kerajaan daripada UMNO perlu menzahirkan dasar yang membela rakyat, memperkukuh agenda Melayu bumiputera, serta memastikan kestabilan negara terus terpelihara.

“Inilah ukuran sebenar relevansi UMNO di mata rakyat hari ini yang bukan retorik, tetapi keberkesanan,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Nurulhidayah mengulas ucapan perasmian serentak tiga sayap Wanita; Pemuda dan Puteri UMNO oleh Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC), di sini malam ini.

Dalam ucapannya, Mohamad menggesa ahli-ahli UMNO mendukung peranan parti dalam Kerajaan Perpaduan dengan pandangan yang membina, idea yang bernas dan teguran yang munasabah.

Katanya, hikmah daripada teguran yang baik dan bernas akan diterjemahkan menjadi natijah yang juga baik untuk bangsa Melayu dan tanah air Malaysia.

Sementara itu, Nurulhidayah berkata, sekiranya UMNO kembali berpegang kepada asas penubuhannya, mendukung kepimpinan yang memikul amanah dalam Kerajaan Perpaduan, serta memimpin dengan kebijaksanaan mengatasi kemarahan, parti itu akan kembali diyakini, bukan sekadar oleh ahlinya, tetapi oleh seluruh rakyat Malaysia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast