Perwakilan yang hadir pada Simposium Politik Era Digital 2026 bersempena Perhimpunan Agung UMNO 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto SADIQ SANI, 14 JANUARI 2026

KUALA LUMPUR – Wanita UMNO akan terus memperjuangkan kuota 30 peratus pembabitan wanita dalam kepimpinan dan pembuat keputusan parti pada Perhimpunan Agung UMNO 2025 (PAU 2025).

Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, usaha itu bagi memastikan bilangan wanita dalam pembuat keputusan tercapai.

Tegas beliau, dasar dan polisi parti perlu dimasukkan elemen kuota wanita dalam perlembagaan.

“PAU adalah ruang terbaik untuk kita mengupas idea, mencambahkan pemikiran dan membincangkan agenda masa depan parti.

“Wanita UMNO akan terus bersuara secara konstruktif bagi memastikan peranan wanita diiktiraf dan diperkasakan dalam struktur kepimpinan,” katanya sempena PAU 2025 di sini.

Sementara itu, PAU 2025 akan menyaksikan kira-kira 6,400 perwakilan UMNO dari 191 bahagian akan berkampung di WTC bermula hari ini hingga Sabtu ini.

Seperti tahun lalu, perhimpunan itu akan membuka tirainya dengan perasmian serentak sayap UMNO di Dewan Merdeka WTC malam ini yang dijadual disempurnakan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hadir pada Simposium Politik Era Digital 2026 sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 14 JANUARI 2026.

Program itu merupakan platform perbincangan strategik bagi membincangkan landskap politik semasa yang semakin dipengaruhi oleh perkembangan teknologi digital, media sosial serta perubahan corak pemikiran pengundi, khususnya generasi muda.

Ia diadakan menerusi tiga sidang sesi pleno, yang menghimpunkan pemimpin parti bagi berkongsi pandangan dan idea ke arah memperkukuh peranan UMNO dalam era digital.

Mengulas lanjut, Norliza berkata, penglibatan wanita dalam kepimpinan bukan sekadar memenuhi angka tetapi bagi memastikan perspektif wanita diambil kira dalam setiap dasar dan keputusan strategik parti, selari dengan realiti semasa dan aspirasi masyarakat.

Malah katanya, PAU 2025 menjadi wadah penting untuk mengangkat martabat parti sebagai perjuangan demi agama, bangsa dan negara, sejajar dengan asas penubuhan UMNO yang kekal relevan sehingga kini.

“Segala perbahasan dan pandangan yang dibawa bertujuan memastikan UMNO terus menjadi parti yang membela nasib rakyat serta mempertahankan kepentingan agama, bangsa dan tanah air.

“Wanita UMNO juga komited memastikan suara akar umbi didengari, khususnya berkaitan isu kos sara hidup, kebajikan keluarga, pembangunan wanita dan generasi muda, serta kestabilan politik negara,” katanya. – MalaysiaGazette

Perwakilan yang hadir pada Perhimpunan Agung Umno 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto SADIQ SANI, 14 JANUARI 2026.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast