KUALA LUMPUR – UMNO perlu mewujudkan satu sayap digital bagi membantu parti dalam mengkoordinasi jentera, menggerakkan kempen dan menangani persepsi di media sosial.
Ketua Penerangannya, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, cadangan penubuhan sayap itu wajar bermula di peringkat cawangan di mana latihan perlu diberikan oleh Penerangan UMNO Pusat dan Negeri.
Jelas beliau, ia bagi mewujudkan data pengundi dan sasaran-mikro untuk membaca maklum balas diberikan terutamanya melibatkan pengundi muda dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Kalau dilahirkan tahun 2008, bererti mereka dilahirkan di dalam era digital. Itu sebabnya kita tidak boleh melihat pengundi baru kita ini di Parlimen dan juga Dewan Undangan Negeri.
“Pengundi kita pada PRU16 ialah yang berada di Facebook, Threads, TikTok, X, Instagram, Telegram dan YouTube,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Simposium Politik Era Digital 2026 di Dewan Tun Hussien Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini.
Turut hadir Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Azalina menambah, cadangan satu sayap digital itu juga bertujuan mempertahankan integriti parti, menyampaikan kebenaran dan menyatukan rakyat khasnya pengundi di negara ini.
“Bila kita bercakap tentang penerangan hari ini, kita kena menerima tanggungjawab bahawa Penerangan UMNO Malaysia, Penerangan UMNO Negeri, Penerangan UMNO Bahagian dan Penerangan UMNO Cawangan mesti mempunyai segmen digital.
“Ia sekali gus mampu membantu parti terutamanya mengkoordinasi jentera di media sosial, menggerakkan kempen di media sosial dan mempengaruhi persepsi di media sosial dengan berkesan,” katanya.
Menurut Ahli Parlimen Pengerang itu, UMNO juga memerlukan satu pendekatan baharu dalam menghadapi era digital kini.
“Politik hari ini berlangsung 24 jam, tujuh hari seminggu tanpa henti dan ia berada di skrin telefon, media sosial, platform digital, kumpulan WhatsApp dan media sosial. Dulu rakyat menunggu berita di kaca televisyen dan di surat khabar atau radio.
“Hari ini, rakyat mendapat berita terus daripada telefon, sama ada rakyat suka ke tak suka kepada berita tersebut, satu klik sahaja video boleh tersebar luas dan tular,” katanya. -MalaysiaGazette















