Muhammad Farouq Mustafa.

KUALA LUMPUR – UMNO perlu menjadi parti yang menjuarai isu-isu yang menekan kos sara hidup rakyat seperti harga barang asas dan makanan yang meningkat serta lonjakan harga rumah.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Jasin, Muhammad Farouq Mustafa berkata, banyak isu yang dibawa UMNO khususnya sayap Pemuda sebelum ini seperti kontroversi bendera terbalik tidak memberi kesan mendalam kepada rakyat kebanyakan.

Menurutnya, beliau tidak bermaksud untuk menyatakan semangat kenegaraan dalam isu itu tidak penting namun bagi rakyat yang sedang kelaparan, isu sedemikian tidak mengenyangkan perut mereka.

Tambahnya, walaupun kerajaan ada menyediakan pelbagai inisiatif seperti Jualan Rahmah, ia sebenarnya kurang membantu rakyat kerana lokasi dan waktu jualannya yang tidak tetap.

“Rakyat mendambakan orang politik seperti kita untuk memperjuangkan isu-isu ini untuk mereka. Sejarah pernah menunjukkan revolusi Perancis bermula dengan krisis harga roti yang melambung tinggi yang mengakibatkan rakyat marah dan mengulingkan monarki di negara itu,” katanya.

Beliau berucap membahaskan ucapan dasar Ketua Pemuda UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) di sini hari ini.

Tambah Muhammad Farouq, selain harga makanan yang terus melambung, peningkatan harga rumah juga menjadi keluhan terbesar rakyat ketika ini.

Mengambil contoh di Melaka, katanya, rumah mampu milik yang ditawarkan ketika ini adalah berharga RM180,000 iaitu di luar kemampuan kebanyakan rakyat.

“Kalau dahulu Pakatan Harapan (PH) berjaya memenangi hati rakyat dengan pelbagai janji untuk mengurangkan harga dan kos hidup rakyat, kita kena bangkit sekarang dengan membawa isu-isu asas rakyat ini.

“Alang-alang kita masih dalam Kerajaan Perpaduan, kita tekan mereka untuk betul-betul mengurangkan kos kehidupan rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast