Pemeriksaan Unit Persenjataan Polis mendapati bom udara yang ditemukan di tapak Projek Golden Valley, Kampung Air Panas, Bemban, Jasin, petang semalam dipercayai jenis 'Aerial Bomb' seberat 500 paun (227 kg) peninggalan era Perang Dunia Kedua berusia kira-kira 80 tahun yang masih aktif.

JASIN – Sebutir bom udara dipercayai peninggalan era Perang Dunia Kedua berusia kira-kira 80 tahun seberat 227 kilogram yang masih aktif ditemukan di tapak Projek Golden Valley, Kampung Air Panas, Bemban di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Jasin Superintendan Lee Robert, berkata pihaknya menerima panggilan telefon kira-kira jam 3 petang daripada seorang pekerja tapak projek berusia 52 tahun ketika melakukan kerja-kerja pengorekan tanah.

Menurutnya, pengadu memaklumkan menjumpai satu objek mencurigakan disyaki bom ketika menjalankan kerja mengorek tanah di kawasan tapak projek berkenaan.

“Hasil siasatan Unit Persenjataan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin kemudian mengesahkan objek tersebut adalah bom jenis ‘Aerial Bomb’ seberat 500 paun (227 kg).

“Pemeriksaan mendapati bom yang sudah berkarat itu masih aktif dengan ukuran lilit antara 27 hingga 36 sentimeter (cm) dan panjang kira-kira 45 inci (114.3 cm),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Bom udara yang ditemukan di tapak Projek Golden Valley, Kampung Air Panas, Bemban, Jasin, Melaka petang semalam dipercayai jenis ‘Aerial Bomb’ seberat 500 paun (227 kg) peninggalan era Perang Dunia Kedua berusia kira-kira 80 tahun yang masih aktif.

Sehubungan itu Lee berkata, bom berkenaan dijadualkan untuk dimusnahkan kira-kira jam 8 pagi ini mengikut Prosedur Operasi Standard yang ditetapkan bagi memastikan keselamatan orang awam dan kawasan sekitar.

Dalam pada itu, Lee menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran awam serta mengganggu ketenteraman masyarakat.

Untuk rekod, penemuan bom lama di daerah Jasin kerap dilaporkan memandangkan dari sudut catatan sejarah, Melaka  pernah berada di bawah pendudukan tentera Jepun antara 1942 hingga 1945 semasa Perang Dunia Kedua.

Kawasan luar bandar serta laluan logistik ketika itu menjadi sasaran serangan udara dan sebahagian bom yang dijatuhkan dalam tempoh tersebut dipercayai gagal meletup dan tertanam di dalam tanah.

Ia kemudian ditemukan semula puluhan tahun kemudian apabila kawasan berkenaan dibangunkan atau diteroka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast