Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican memuji ucapan dasar ketua sayap parti itu sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 yang disifatkan baik dan bernas.

Beliau berkata, sebagai Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh merupakan lambang keberanian parti keramat orang Melayu untuk bersuara demi ahli di akar umbi.

Menurut beliau, Pemuda UMNO perlu terus bersuara biarpun ia kadang-kadang seakan-akan menyanggah keputusan yang dibuat pucuk tertinggi pimpinan parti.

“Ucapan yang baik, bernas seperti biasa, lantunan suara daripada Akmal tidak pernah asing buat kita. Tapi yang paling penting adalah beliau menunjukkan istiqomah dan beliau lontarkan pada semua perkara-perkara yang mendasari keresahan di peringkat bawah rakyat.

“Tentu sekali, ia satu rasa kelegaan bila suara itu akhirnya disuarakan oleh Akmal. Jadi, inilah Pemuda (UMNO) yang sentiasa bersuara walaupun kadang-kadang dilihat seakan-akan menyanggah tetapi hakikat Pemuda bersuara itu adalah suatu tradisi yang tidak pernah terhenti dalam UMNO.

“Yang paling penting, Pemuda UMNO adalah lambang berterus-terang dan paling penting lambang berani dan keberanian itu ternyata dizahirkan oleh Akmal dengan menyuarakan suara rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas hadir dan mengikuti  ucapan dasar perhimpunan sayap Pemuda UMNO sempena PA 2025 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) di sini hari ini.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh bersalaman bersama bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin selepas mengumumkan peletakan jawatan sebagai Exco Kerajaan Negeri Melaka pada Persidangan Pemuda UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 15 JANUARI 2026.

Dalam ucapannya, Muhamad Akmal mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka berkuat kuasa minggu hadapan.

Bagaimanapun, tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkenaan, beliau akan tetap mempertahankan jawatan Ketua Pemuda UMNO kerana mahu menentang DAP habis-habisan.

Menurutnya, keputusan mempertahankan jawatan Ketua Pemuda UMNO itu bagi membuktikan beliau tidak sama sekali akan lari daripada perjuangan membela agama, bangsa dan tanah air.

Berbanding jawatan sebagai Exco dalam Kerajaan Negeri Melaka, ujarnya, jawatan itu disifatkan tidak sepenting seperti mana mempertahankan maruah, prinsip dan suara akar umbi selaku Ketua Pemuda UMNO.

Mengulas mengenai pengumuman peletakan jawatan Dr Muhammad Akmal, Reezal berkata, keputusan yang dibuat itu selepas mendapat nasihat dan pandangan daripada Presiden UMNO dan Ketua Menteri Melaka.

“Beliau telah berjumpa Presiden UMNO dan Ketua Menteri Melaka untuk mendapat pandangan dan nasihat, di mana akhirnya itulah keputusan beliau.

“Tetapi yang paling saya suka apabila beliau seinci tidak akan tinggalkan Pemuda UMNO dan masing memikul tanggungjawab tersebut. Jadi yang paling penting beliau istiqomah dan walk the talk,” katanya.

Sebelum ini, DAP Melaka membidas gesaan Dr Muhamad Akmal supaya parti itu keluar daripada Kerajaan Perpaduan sedangkan beliau tidak mempunyai kuasa untuk menentukan hala tuju kerajaan.

Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, kenyataan Dr Muhamad Akmal itu mencetuskan perbincangan dalam kalangan ahli parti, namun DAP melihat gesaan tersebut tidak berasas dan melangkaui bidang kuasanya.

Selain itu, Pemuda Sosial DAP (DAPSY) turut mendesak Dr. Muhamad Akmal melepaskan jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO selepas Ahmad Zahid menegaskan UMNO akan terus berada dalam Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal. – MalaysiaGazette

Reaksi Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh bersama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh selepas mengumumkan peletakan jawatan sebagai Exco Kerajaan Negeri Melaka pada Persidangan Pemuda UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 15 JANUARI 2026.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast