Firdaus Wong Wai Hung

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi memutuskan syarikat induk Atomy Co. Ltd (Atomy Korea) menyebarkan agama Kristian manakala perniagaan yang dijalankan oleh Atomy Malaysia Sdn. Bhd. membawa keuntungan tinggi kepadanya.

Pesuruhjaya Kehakiman, Arziah Mohamed Apandi berpuas hati, Atomy Malaysia selaku plaintif tidak mencabar bukti aktiviti Kristianisasi yang dijalankan syarikat induk itu manakala saksi-saksinya turut mengakui bukti berdokumen yang dikemukakan di mahkamah.

Beliau berpendapat, tiada saksi yang memberi keterangan bahawa kandungan laman web Atomy Korea adalah rekaan, tangkap layarnya dalam Instagram adalah palsu atau laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) adalah tidak tepat.

Arziah menyatakan demikian ketika menolak saman Atomy Malaysia yang dikemukakan terhadap penceramah bebas, Firdaus Wong Wai Hung.

Alasan penghakiman beliau bertarikh 13 Januari lalu diperoleh oleh pihak media melalui laman web mahkamah hari ini. Keputusan diumumkan pada 15 Disember lalu.

Atomy Malaysia menyaman Firdaus selepas defendan memuatnaik sebuah video pada 30 Disember 2020 di Facebook rasminya dan membuat lima kenyataan seterusnya pada 13 hingga 21 Januari dan 30 Mac 2021.

Dalam penghakiman bertulis setebal 52 muka surat, Arziah menggariskan alasan mengapa beliau menolak saman Atomy Malaysia dan kaitannya dengan syarikat induk, Atomy Korea.

Menurutnya, Atomy Malaysia adalah 100 peratus dimiliki syarikat induk hasil keterangan saksi plaintif yang menyatakan semua pengurus luar negara merupakan warga negara itu yang dilantik oleh Atomy Korea.

Ujarnya, plaintif mengimport barangan kira-kira RM98 juta dari Atomy Korea setiap tahun dan telah membayar dividen sebanyak RM14 juta kepadanya.

Ujar beliau, carian dalam Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan, Atomy Korea selaku pemegang saham tunggal mengawal Atomy Malaysia.

Selain itu, pengarah Atomy Malaysia juga merupakan Pengarah Urusan Kanan Atomy Korea iaitu jawatan yang saling berkait bagi memastikan kepentingan syarikat induk diwakili peringkat tertinggi yang mengawal tadbir urus plaintif.

“Ini bermakna, kawalan operasi harian dilaksanakan oleh individu yang dipilih oleh syarikat induk,” ujarnya.

Arziah turut memetik laporan JAKIM yang menyatakan walaupun Atomy Malaysia menafikan hubungan dengan syarikat induk, dokumen SSM menunjukkan bahawa pegangan saham Atomy Malaysia 100 peratus dimiliki oleh Atomy Korea.

Ujarnya, laporan itu turut menyatakan, Atomy Malaysia juga menyumbang keuntungan daripada jualan kira-kira enam peratus setahun kepada Atomy di peringkat global.

Menurut laporan JAKIM, pada 2020 sahaja nilai jualan Atomy di seluruh dunia ialah AS$1.73 bilion (RM7.01 bilion).

JAKIM selanjutnya menyatakan, kajian itu mengesyorkan urus niaga dengan Atomy harus dilarang berdasarkan pendekatan yang menimbulkan keresahan dan ketidakselesaan dalam kalangan masyarakat Islam serta sikap terbukanya terhadap sumbangan Atomy Korea kepada agenda Kristian.

Menurut Arziah, Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam (MKI) Kali Ke-120 pada 25 Januari 2022 memutuskan umat Islam dilarang melibatkan diri dalam aktiviti perniagaan dan mempromosikan syarikat Atomy.

Ujarnya, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) kemudian mengeluarkan fatwa yang diwartakan bertarikh 5 April 2024. Sehingga perbicaraan, tiada pihak termasuk plaintif mencabar ketetapan tersebut.

“Pengesahan JAKIM, Muzakarah MKI dan MAIS yang merupakan pihak berkuasa agama dibuat selepas penyelidikan terperinci yang membawa kepada bukti bahawa menjalankan perniagaan dengan Atomy membawa kesan halus dan ancaman kepada akidah umat Islam,” ujarnya.

Menurut Arziah, Firdaus berjaya membuktikan beliau memberi ulasan yang adil kerana beliau tidak menyeru kepada keganasan, boikot atau gangguan.

Sebaliknya, selaku penceramah profesional, beliau menyediakan pandangan dan panduan terhadap perkara yang memberi kesan kepada amalan dan akidah orang Islam.

Mahkamah turut berpuas hati bahawa tidak wujud niat jahat di pihak defendan kerana beliau hanya memberi maklum balas terhadap keresahan umum sejak 2019 yang mana pandangan beliau membawa kepada penyelidikan rasmi oleh pihak berkuasa agama.

Menyentuh isu kerugian, mahkamah mendapati, Atomy Malaysia tidak mengemukakan laporan forensik bagi menganalisis sama ada fitnah tersebut menyebabkan kerugian kewangan kepadanya.

“Ketiadaan analisis sedemikian menunjukkan plaintif tidak mengalami kemudaratan kewangan. Paling ketara, plaintif tidak memanggil orang awam bagi menunjukkan pelanggan berhenti membeli produk, bakal ejen yang enggan menyertai atau rakan kongsi perniagaan yang memutuskan hubungan,” ujarnya.

Sebaliknya, hasil plaintif meningkat 60 peratus dan keuntungan kasar meningkat 58 peratus pada tahun 2021 dan ia bertentangan dengan dakwaan plaintif bahawa pernyataan defendan memberi kemudaratan serius. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast