KUALA LUMPUR – Krisis politik yang berlaku di Perlis membongkar kepalsuan retorik perpaduan Melayu yang kononnya diperjuangkan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di bawah Perikatan Nasional (PN).
Pemangku Ketua Pemuda UMNO Bahagian Arau, Ahmad Nazrin Abdul Aziz berkata, krisis itu juga memperlihatkan kegagalan PN mengurus dan memastikan kestabilan sebuah kerajaan negeri.
Malah, ujar beliau, selepas kira-kira tiga tahun PN mentadbir Perlis, tiada sebarang perubahan ketara di negeri itu yang dapat dirasai dan memberi manfaat secara jelas kepada penduduknya.
“Jika suatu ketika dahulu, anak-anak muda di kampung aktif dengan program kemasyarakatan dan menerima pelbagai manfaat daripada inisiatif pengupayaan ekonomi luar bandar oleh kerajaan, hari ini suasana itu semakin hilang.
“Program semakin berkurang, sokongan semakin pudar dan harapan semakin menipis.
“Untuk mengharapkan kerajaan negeri Perlis di bawah pimpinan Pas dan Bersatu, mereka lebih sibuk bergaduh dan berebut kuasa sesama sendiri.
“Akibatnya, kehendak dan harapan anak-anak muda semakin terpinggir, terabai dan tidak dipedulikan,” katanya.
Beliau berucap membahaskan ucapan dasar Ketua Pemuda UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC), di sini hari ini.
Disebabkan itu, kata Ahmad Nazrin, Pemuda UMNO Perlis melahirkan tekad untuk bangkit merampas semula negeri itu pada pilihan raya umum akan datang dan meneruskan agenda pembangunan seperti mana yang dilakukan ketika mentadbir negeri itu sebelum ini.
Tegas beliau, gerak kerja UMNO Perlis ketika ini berada pada landasan tepat di bawah kepimpinan ketua bahagian baharu yang lebih muda dan segar sekali gus dapat menggerakkan perjuangan UMNO dengan semangat baharu, pendekatan yang lebih tersusun dan hala tuju yang jelas.
“Jika hari ini mereka berbangga dengan kerajaan SG4, Pemuda UMNO Perlis berazam untuk memastikan SG4 itu menjadi SG3 dan kita serahkan kepada rakan-rakan seperjuangan di Kedah, Kelantan dan Terengganu untuk menyempurnakan melenyapkan mereka menjadi SG kosong,” katanya. – MalaysiaGazette
















