Zulkiflee (dua dari kanan) dan Sapiah (dua dari kiri) hadir pada Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) dan Amanat Tahun Baru 2026 di Melaka hari ini.

MELAKA – Pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini digesa lebih peka terhadap perniagaan yang dijalankan premis bagi mengelakkan kewujudan aktiviti ‘terselindung’ di sebalik lesen yang sah.

Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin berkata, ia penting supaya PBT tidak menjadi mangsa pihak yang menyalahgunakan premis untuk tujuan menyalahi undang-undang.

“Walaupun PBT mengeluarkan lesen, mereka kena alert tentang apa sebenarnya perniagaan yang dijalankan sebab kita bimbang ada aktiviti terselindung di sebalik premis tersebut sehingga akhirnya dihidu orang ramai dan ditularkan.

“Sebagai contoh, premis itu dilesenkan sebagai hotel untuk tempat istirahat, tetapi ada pula program kurang baik dianjurkan dan akhirnya PBT yang menjadi mangsa kepada isu tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran MPHT dan Amanat Tahun Baru 2026 di sini hari ini. Hadir sama Yang Dipertua MPHTJ, Datuk Sapiah Haron.

Zulkiflee diminta mengulas mengenai tindakan pemilik hotel butik di Malim Jaya yang mencetuskan kontroversi dengan promosi konsep ‘mesra gay’ sebelum ianya tular Isnin lalu.

Premis itu kemudian diserbu MPHTJ dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Selasa lalu namun kosong dan tidak berkunci ketika operasi menyebabkan PBT itu menyita operasi hotel butik yang mempunyai 37 bilik itu.

Mengulas lanjut Zulkiflee berkata, pemilik lesen hotel berkenaan, lelaki tempatan telah bertemu dengan pihak MPHTJ diketuai Sapiah jam 10 pagi tadi untuk mendapatkan penjelasan lanjut setelah gagal hadir sebelum ini.

“Selepas ini, kita akan buat semakan menyeluruh ke atas nama syarikat tersebut, termasuk melihat jika mereka mempunyai rangkaian hotel lain atau penglibatan di bawah PBT lain,” tambahnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast