JASIN – Seorang pelajar lelaki cedera selepas motosikal ditungganginya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Tedong, Merlimau, di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Jasin Superintendan Lee Robert berkata, kejadian melibatkan mangsa berusia 16 tahun berlaku kira-kira jam 8.40 pagi ketika pemandu MPV jenis Perodua Alza dalam perjalanan dari SK Tedong menghala ke Merlimau.
Menurutnya, ketika kejadian, lampu isyarat di sebelah kanan telah bertukar merah dan kenderaan lain berhenti sebelum pengawal keselamatan mengarahkan MPV terbabit dipandu wanita berusia 39 tahun untuk bergerak ke kiri.

“Pada masa sama sebuah motosikal jenis Yamaha LC135 yang ditunggang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Syed Zahiruddin, Air Tawar, Merlimau, datang dari arah kanan dan bergerak lurus sebelum melanggar bahagian belakang kanan MPV berkenaan.
“Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan di bahagian kaki dan dagu menerima rawatan di Hospital Melaka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, pemandu MPV yang bekerja sebagai Pembantu Pengurusan Murid bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette
















