Gambar hiasan

KUANTAN – Seorang pensyarah rugi hampir setengah juta ringgit akibat menjadi mangsa penipuan skim pelaburan tidak wujud atas talian.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, wanita berusia 39 tahun itu pada mulanya menerima satu panggilan telefon daripada seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai ejen pelaburan saham daripada WLIS Investment pada 12 September 2025.

“Mangsa kemudiannya dimasukkan ke dalam satu kumpulan aplikasi WhatsApp dikenali sebagai “C-129 WLIS AW Fans Group” diarahkan untuk memuat turun satu aplikasi pelaburan melalui pautan yang diberikan bagi tujuan membuat pelaburan melalui aplikasi tersebut.

“Sepanjang tempoh tersebut, mangsa telah membuat sebanyak 22 transaksi pemindahan wang ke lima akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhan kerugian sebanyak RM493,600.00,” katanya dalam kenyataan.

Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob (kiri), Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman (tengah) dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, SAC Datuk Mohd Yusri Othman

Menurut Yahaya, pada 14 Januari 2026, mangsa diminta membuat bayaran tambahan sebanyak RM144,676.00 sebagai cukai pengeluaran.

Bagaimanapun, mangsa tidak berbuat demikian kerana mengesyaki telah ditipu dan tampil membuat laporan polis.

“Sumber kewangan mangsa adalah daripada wang simpanan sendiri serta pinjaman daripada ahli keluarga,” katanya.

Justeru, beliau menasihati orang ramai supaya merujuk dan mendapatkan nasihat awal daripada balai polis berdekatan sebelum membuat sebarang pelaburan bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan.

Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun yang diterima di pautan https://semakmule.rmp.gov.my/ terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi.

Orang awam yang mengesyaki menjadi mangsa penipuan dinasihatkan segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast