JASIN – Polis sedang giat memburu tiga penjenayah disyaki terlibat dalam kes pecah rumah dan curi di Taman Anjung Gapam, Bemban di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Lee Robert berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 9.20 malam apabila suspek bertindak memecah masuk sebuah rumah pengurus pusat kecantikan ketika mangsa tiada di kediaman.
Menurutnya mangsa, seorang wanita tempatan berusia 37 tahun menyedari kejadian itu selepas menerima notifikasi kamera litar tertutup (CCTV) di telefon bimbitnya semasa dalam perjalanan pulang sebelum melaporkannya kepada polis.

“Rakaman CCTV menunjukkan dua suspek berada di dalam rumah manakala seorang lagi berada di luar bagi memantau keadaan sebelum unit peronda polis membantu mengiringi mangsa pulang ke rumah.
“Hasil pemeriksaan mendapati, suspek disyaki melarikan wang tunai pelbagai mata wang asing dari China, Indonesia, Thailand, Amerika Syarikat, Eropah dan Korea dengan anggaran kerugian kira-kira RM1,500 yang disimpan di dalam laci almari bilik utama,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial beberapa rakaman CCTV menunjukkan ketiga-tiga suspek melakukan jenayah itu dengan memakai pelitup muka dan baju panas ‘hoodie’ termasuk berlegar-legar di kawasan perumahan di negeri ini jam 9 malam tadi.
Mengulas lanjut, Lee berkata, siasatan awal mendapati, modus operandi suspek memecah masuk ialah dengan mengumpil besi jeriji dan pintu kayu di bahagian hadapan rumah.
“Proses dusting di lokasi kejadian telah mengesan lapan cap jari, manakala Unit Anjing Pengesan (K9) turut digerakkan bagi mengesan pergerakan suspek.

“Usaha mengesan ketiga-tiga suspek kini sedang giat dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Muhammad Fadzlan Fitri Mis di talian 018-3511594 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette
















