KUALA LUMPUR – Ketua Wanita UMNO Pasir Salak, Datin Sri Rahayu Tajuddin menggesa reformasi menyeluruh sistem pendidikan negara merangkumi pendidikan awal kanak-kanak, persekolahan, pengajian tinggi serta pembelajaran sepanjang hayat.
Ia bagi memastikan tiada golongan tercicir dalam arus pembangunan negara.
Berucap ketika membahaskan usul politik pada Perhimpunan Agung Wanita UMNO 2025, beliau menegaskan, pendidikan awal kanak-kanak perlu diberi perhatian serius termasuk mengemas kini reka bentuk dan standard bangunan sekolah prasekolah agar lebih selamat dan kondusif.
Selain itu, Rahayu mencadangkan pembiayaan yuran pendidikan awal diwujudkan melalui model bantuan bersasar seumpama skim Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan Rumah Mesra Rakyat, bagi membantu keluarga berpendapatan rendah.
Mengulas hala tuju pendidikan nasional, beliau menekankan, Unified Examination Certificate (UEC) perlu dilihat dalam kerangka yang lebih luas dan tidak semata-mata tertumpu kepada pengiktirafan sijil.
“UEC bukan soal sijil semata-mata tetapi soal patriotisme dan kesetiaan kepada negara,” katanya sambil menegaskan, keperluan memastikan sistem pendidikan terus memupuk jati diri kebangsaan dan nilai kenegaraan.
Dalam aspek persekolahan pula, beliau mahu kurikulum sedia ada perlu ditambah baik dengan mewujudkan sistem kerjasama sekolah awam sebagai ‘sekolah rakan’ kepada sekolah swasta tempatan bagi perkongsian kepakaran dan sumber.
“Literasi digital juga mesti diperkukuh dengan pendekatan seimbang, bukan sekadar penggunaan teknologi, tetapi mendidik murid cara penggunaan yang betul termasuk pemasangan perisian penapis kandungan,” ujarnya lagi.
Rahayu turut menekankan isu keselamatan sekolah dengan mencadangkan penambahan kamera litar tertutup (CCTV), sistem pagar automatik dan penggera bagi mengelakkan pencerobohan dengan niat menculik atau mencuri.
Menurut beliau, disiplin pelajar perlu diperkasaka melalui sistem tutor menggunakan kaedah pembangunan terkini selain meningkatkan kesedaran untuk menyambung pelajaran menerusi program mentor-mentee yang melibatkan alumni sebagai rakan pembimbing.
Bagi pengajian tinggi, Rahayu mencadangkan langkah membasmi miskin digital dengan memperkenalkan sistem pinjaman iPad atau komputer riba kepada pelajar seumpama skim pinjaman buku teks.
Beliau juga menggesa penaiktarafan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan asrama, serta usaha meningkatkan kebolehpasaran graduan melalui pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara universiti dan industri, di samping menggalakkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai laluan alternatif.
Mengulas pendidikan pascasiswazah, Rahayu berkata, skim pinjaman bagi pengajian sarjana dan doktor falsafah perlu diperluaskan kepada golongan berusia 40 tahun ke atas bagi menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat.
“Negara memerlukan rakyat yang terus belajar, menambah kemahiran dan menyesuaikan diri dengan perubahan, tanpa mengira usia,” tegasnya. – MalaysiaGazette
















