KUALA LUMPUR – Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menegaskan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) bukan sekadar pertandingan politik, sebaliknya penentuan masa depan negara, kelangsungan UMNO serta harapan rakyat terhadap parti itu.
Berucap pada Perhimpunan Agung Wanita UMNO 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini, Noraini berkata UMNO perlu kembali memimpin dengan lebih matang, bertanggungjawab dan bersatu sebagai satu kekuatan.
Menurutnya, Wanita UMNO tidak boleh bergerak dengan suara bercanggah, bisikan yang memecah-belahkan atau tindakan melemahkan parti, sebaliknya perlu bergerak sebagai satu suara dan satu tekad.
“Dalam Wanita UMNO, kita hanya boleh hidup dan kuat jika kita sepakat,” ucapnya bersemangat sebelum tepukan gemuruh delegasi wanita seluruh negara di Dewan Tun Hussien Onn hari ini.

Pada masa sama, beliau memberi amaran perpecahan dalam parti akan membawa kesan besar termasuk melemahkan perpaduan negara, mempolitikkan agama, menekan ekonomi rakyat serta mencabar budaya, bahasa dan sistem pendidikan.
Noraini yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi Malaysia dan Ahli Parlimen Parit Sulong itu menegaskan, keadaan itu bukan retorik ketakutan sebaliknya realiti yang sedang dirasai rakyat ketika ini.
“Jika keresahan ini tidak diurus dengan hikmah, empati dan ketegasan berprinsip, jangan terkejut apabila kemarahan diterjemahkan melalui kertas undi dan membawa padah kepada kita,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan Wanita UMNO perlu tampil sebagai suara yang menenangkan dan jambatan harapan, bukan pihak yang menyemarakkan perpecahan.
Menyentuh landskap politik semasa, Noraini berkata, perubahan yang berlaku selepas PRU15 menunjukkan realiti baharu politik negara, selari dengan trend global yang menyaksikan era parti tunggal berkuasa penuh semakin berakhir.
Beliau merujuk kepada pembentukan kerajaan gabungan di beberapa negara seperti Jerman, Belanda, Indonesia dan Thailand sebagai contoh kematangan demokrasi moden berasaskan perkongsian kuasa dan kompromi politik.
Menurutnya, pengundi hari ini semakin kritikal, tidak lagi bergantung kepada nostalgia atau sejarah semata-mata, sebaliknya menilai tawaran dan hala tuju masa depan.
“PRU15 membuktikan tiada satu parti pun mampu menang secara mutlak. Perikatan Nasional memperoleh 74 kerusi, Pakatan Harapan 82 kerusi dan Barisan Nasional 30 kerusi, menyebabkan semua pihak terpaksa berkompromi untuk membentuk kerajaan,” katanya.
Noraini berkata kerjasama politik yang dinamik menuntut kebijaksanaan UMNO dalam menjalin hubungan antara parti, namun menegaskan penerimaan realiti itu tidak bermakna UMNO perlu menjadi parti yang menurut.
“UMNO mesti menjadi parti teras dan parti yang memimpin, bukan sekadar mengikut. Kita ada sejarah, pengalaman dan akar umbi yang kuat,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan kerjasama politik tidak bermaksud tunduk atau menyerah, sebaliknya UMNO tetap berpegang kepada prinsip, menetapkan garis merah dan mempertahankan agama, bangsa serta Raja Berperlembagaan.
Noraini berkata Wanita UMNO akan terus berdiri teguh dan memberi sokongan penuh kepada Presiden UMNO dalam mengemudi kerjasama politik demi memastikan parti itu kekal relevan dan kembali kuat menjelang PRU16. -MalaysiaGazette
















