Ketua Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi ketika Pergulungan pada Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung 2025 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia( WTCKL), Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 15 JANUARI 2026.

KUALA LUMPUR – Ketua Pergerakan Puteri UMNO,  Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi menafikan usul had umur untuk keahlian sayap parti berkenaan ditambah kepada 40 tahun.

Sebaliknya tegasnya, Puteri UMNO menyuarakan dan membangkitkan usul tersebut berdasarkan keperluan semasa dan survival parti.

Ujarnya, ia terbukti apabila Pergerakan Wanita UMNO dikhabarkan turut senada dengan usul berkenaan.

“Ada yang kata Puteri sudah tidak ada idea, betulkah? Ada yang kata kami tidak layak diberi peluang. Ada yang kata kami gila jawatan. Ada yang kata mungkin takut dilawan, betulkah?

“Puteri juga ingin menzahirkan rasa terima kasih buat kekanda Wanita, ada angin-angin membawa khabar Wanita mengusul usul usia Puteri. Sokongan ini amat bererti buat kami.

“Jadi kepada kekanda Wanita, kami ini minta bukan kerana kami tidak mahu berganjak atau lupa diri tapi demi kelangsungan parti dan memahami realiti semasa yang kita hadapi,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 sayap parti itu hari ini.

Bagaimanapun beliau tidak menafikan usul berkenaan perlu diteliti oleh barisan kepimpinan parti.

Justeru, beliau meminta Puteri UMNO memberikan masa dan ruang kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti membuat pertimbangan terhadap usul berkenaan.

“Jadi Along (saya) harap pasal usul Puteri ini kita beri sedikit masa, Insyallah kita doakan wakil MKT kita tahun ini dan kekanda Wanita kita memahami kita semua dan memberi kelulusan yang sewajarnya kepada kita supaya kita dapat memberi sumbangan kepada parti.

“Kita sabar sekejap, beri ruang kepada mereka untuk buat yang terbaik dan memikirkan cara untuk kita,” katanya sambil menyifatkan usul tersebut disuarakan oleh enam Ketua Puteri UMNO yang terdahulu.

Terdahulu Nurul Amal menjelaskan, usul berkenaan bukan bermakna Puteri UMNO menolak atau meminggirkan mana-mana kumpulan tertentu sebaliknya membuka ruang agar peralihan generas berlaku dengan lebih teratur, adil dan berfasa.

“Parti yang mahu terus hidup tidak boleh bergantung pada satu generasi semata-mata. Jika kita gagal mengatur peralihan hari ini, kita sedang mempertaruhkan masa depan parti.

“Dan itu bukan risiko yang mampu kita tanggung bersama,” katanya lagi.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast