JOHOR BAHRU – Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku keempat tahun lalu dijangka menunjukkan pertumbuhan yang positif berdasarkan beberapa indikator ekonomi semasa.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, bagaimanapun pihaknya masih menunggu pengumuman rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) untuk mengetahui keseluruhan prestasi KDNK negara tahun lalu.
Ahli Parlimen Johor Bahru itu menjelaskan, sentimen awal terhadap prestasi ekonomi negara menunjukkan pertumbuhan positif sekali gus membuktikan ekonomi negara berada pada landasan yang baik.
“Dalam pada masa yang sama, kompleksiti ekonomi juga perlu dipertingkatkan agar tidak terdedah dan dipengaruhi kepada sebarang risiko geopolitik luar negara.
“Keadaan geopolitik itu kebanyakannya bukanlah berada di bawah kawalan kita tetapi dari segi persiapan negara sudah pasti kita kena memperkukuhkan dari segi struktur ekonominya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan Negeri Johor Tahun 2026 di Jabatan Pendidikan Negeri Johor, di sini hari ini.
Menurut Akmal Nasrullah, perlu dipastikan bahawa bukan sahaja usaha menarik pelaburan, perlu lihat daripada segi perbelanjaan rakyat dan usaha meningkatkan lagi kompleksiti ekonomi.
Jelasnya, ini supaya apabila berlaku sebarang ketidaktentuan di luar negara tidak memberi kesan langsung atau pun kesan yang mendadak kepada keadaan ekonomi negara.
Katanya, antara strategi yang akan dilaksanakan bagi memperkukuh ekonomi termasuk menaikkan lantai dan siling ekonomi selain memastikan tatakelola yang baik dalam melaksanakan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Ulasnya, walaupun terdapat keperluan perancangan dan penelitian rapi, fokus kerajaan adalah memastikan pelaksanaan RMK-13 bermula secepat mungkin bagi mengukuh asas ekonomi negara dalam menghadapi cabaran masa depan.- MalaysiaGazette
















