Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

KUALA LUMPUR – Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein Onn dilihat mampu mengekalkan kemenangannya di Parlimen Sembrong sekiranya bertanding sebagai calon bebas pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).

Pengerusi Veteran UMNO Negeri Johor, Datuk Othman Jais berkata, ia kerana tinjauan yang dibuat menunjukkan Ahli Parlimen Sembrong itu masih mempunyai pengaruh yang kuat di kawasan itu.

Menurut beliau, Hishammuddin mampu mengikuti jejak langkah seorang lagi ‘panglima’ UMNO Johor iaitu Tan Sri Shahrir Samad yang melakar sejarah memenangi Parlimen Johor Bahru sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Kecil pada 1988.

“Contohnya di Sembrong, suka tak suka kalau kita nak hendak letakkan orang lain pun, sebagai contoh kita ada panglima di mana Tan Sri Shahrir bertanding dalam pilihan raya kecil, jentera parti banyak sokong beliau.

“Sentimen orang Johor dalam UMNO ini memang kita susah hendak kata,  contohnya kalau yang lepas Tan Sri Shahrir bertanding bebas pun, dia menang dan kalau ditakdirkan di Sembrong dari segi tinjauan, kalau Datuk Hishammuddin bertanding, BN (Barisan Nasional) masuk pun, boleh jadi kalah.

“Sebab beliau sudah jadi orang lama di situ dan faham masalah dalam politik, kadang-kadang sedikit sebanyak pada kamilah di Johor ini, pemimpin-pemimpin mana yang tidak buat silap dan tiada ada siapa yang buat kelemahan, jadi yang itu kita betulkan, itu sahaja yang kita harap.

“Kita juga berharap agar semua pihak boleh terima saranan Presiden UMNO yang (pemimpin) masih ada di luar ini baliklah ke pangkal jalan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Pusat Dagang Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari ini.

Beliau diminta mengulas bagaimana pengaruh Hishammuddin dalam UMNO ketika ini selepas digantung parti itu selama enam tahun sejak Januari 2023.

Pengerusi Veteran UMNO Negeri Johor, Datuk Othman Jais.

Julai tahun lalu, Hishammuddin berkata, beliau tidak pernah mengemukakan rayuan terhadap penggantungannya kerana mendakwa tidak diadili sebaiknya dan enggan menggadaikan prinsip yang dipegang.

UMNO Bahagian Sembrong sebelum itu pernah mencadangkan supaya penggantungan keahlian Hishammuddin ditarik semula selaras dengan matlamat memperkukuh parti di semua peringkat menjelang PRU akan datang.

Susulan itu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menasihatkan Hishammuddin supaya menulis surat rayuan seperti yang dilakukan bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebelum Majlis Kerja Tertinggi bersetuju menarik semula penggantungannya.

Mengulas lanjut, Othman menambah, Veteran UMNO bukan melihat kepada soal sentimen negeri tetapi semua pihak perlu menerima realitik politik di mana setiap pemimpin memiliki penyokong masing-masing.

“Kita amat mengalu-alu dan kita nak ucap tanhiah juga kepada Presiden UMNO atas ucapan dasar yang menjemput dan mengalu-alukan ahli atau bekas ahli yang ada.

“Kita harap tidak ada sekatan atau syarat-syarat dan kita terima di mana yang layak duduk atau pun yang diterima oleh masyarakat,” katanya.

Sebelum ini, Hishammuddin berkata, beliau hanya mengetahu mengenai penggantungannya melalui media pada malam 27 Januari 2023 dan menerima surat rasmi mengenai alasan penggantungan iaitu kerana melanggar Perlembagaan UMNO.

Namun beliau mendakwa tidak diberikan sebarang penjelasan atau perincian lanjut sehingga hari ini mengenai kesalahan spesifik yang didakwa dilakukan dan tidak dipanggil membela diri atau dibicarakan di hadapan Jawatankuasa Disiplin. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast