KUALA LUMPUR – Pemimpin-pemimpin UMNO dalam Kerajaan Perpaduan sentiasa konsisten mempertahankan asas perjuangan Islam, Melayu, kedudukan istimewa bumiputera dan Raja-Raja Melayu.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan, menteri-menteri parti itu yang berada dalam kerajaan hari ini tidak pernah membisu.
Katanya, beliau menyedari ada pihak yang menyebarkan naratif songsang kononnya Islam terancam, Melayu dihina dan pemimpin UMNO membisu.
“Hakikat yang harus kita sedar ialah pemimpin-pemimpin kita yang masuk dalam Kerajaan Perpaduan berasaskan perjanjian yang dimeterai dengan 18 parti politik, inilah pemimpin-pemimpin yang mempertahankan syarat-syarat UMNO,” katanya ketika berucap di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025, di Pusat Dagangan Dunia (WTCKL), hari ini.
Buktinya, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meneruskan Dasar Tahfiz Negara 2.0 yang sebelum ini pernah terhenti selepas Barisan Nasional (BN) tewas pada pilihan raya tahun 2018, malah tidak pernah meninggalkan Datuk Seri Najib.
“Dasar Tahfiz negara yang terhenti bila BN kalah pada 2018 inilah sosok tubuh yang memastikan masa depan 250,000 anak-anak bangsa kita yang berada di pusat-pusat tahfzi yang berdaftar dan tidak berdaftar hari ini terbela,” tambahnya.
Dalam pada itu, Asyraf berkata, PAU adalah medan terbaik untuk UMNO bermuhasabah tanpa menggunakan sentimen murahan, emosi tidak terkawal dan saling menunding jari.
“Dalam banyak keadaan kita cenderung untuk menyalahkan orang lain tetapi jarang sekali kita melihat kelemahan diri. Hakikatnya kita tidak mampu mengawal orang lain tetapi kita mampu mengawal, mencorak dan memimpin parti kita sendiri,” tambahnya.
Katanya lagi, UMNO juga memelihara sentiasa memelihara kesetiaan masing-masing yang menjadi benteng parti itu dengan mengambil cabaran perbezaan pandangan yang pernah menjadi perpecahan sebelum ini.
“Namun dalam beberapa tahun kebelakangan ini, ketika lawan sedang bertelagah, ketika musuh sibuk bertelingkah, kenapa UMNO pula yang perlu terbelah… Hakikatnya, kita mampu berdiri kerana satu kekuatan utama, keupayaan kita untuk kekal berpadu
“Kita mahu terus memelihara benteng ini, atau kita sendiri yang membuka ruang kepada suara-suara luar untuk mengganggu pertimbangan dan melemahkan kesatuan yang telah kita bina bersama.
“Ingatlah, “Berselisih di tangga boleh ditegur, bersimpang di jalan membawa sesat,” katanya lagi.- MalaysiaGazette
















