KUALA LUMPUR – Tindakan Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh melepaskan jawatan sebagai Exco Kerajaan Negeri Melaka tidak bererti berundur daripada medan perjuangan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.
Sebaliknya, Exco Pemuda UMNO, Datuk Seri Fariz Hazurin Ismail berkata, keputusan itu merupakan satu langkah berprinsip yang mencerminkan kematangan politik, keberanian moral serta kejelasan keutamaan dalam memikul amanah perjuangan.
“Saya mengambil maklum keputusan Yang Berhormat Dr Akmal Saleh meletakkan jawatan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka, namun kekal meneruskan amanah dan tanggungjawab sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia.
“Tindakan ini membuktikan kepimpinan tulen tidak diukur melalui kedudukan atau jawatan eksekutif semata-mata, sebaliknya melalui keberanian membuat keputusan sukar.
“Langkah tersebut bagi memastikan perjuangan parti terus dipacu atas landasan prinsip, integriti dan berpihak kepada suara akar umbi,” katanya menerusi satu kenyataan kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Semalam, Dr Akmal mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka yang disandang sejak April 2023, berkuat kuasa minggu depan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu mengumumkannya di hadapan lebih 2,500 perwakilan Perhimpunan Agung Pemuda UMNO ketika menyampaikan ucapan dasarnya di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, pada Rabu.
Keputusan Akmal itu sebagai menyahut desakan pemimpin DAP Melaka menuntut beliau mengambil pendirian sedemikian, susulan gesaan supaya UMNO menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan.
Fariz yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Subang berkata, keputusan Dr. Akmal itu sebagai mendahulukan amanah perjuangan berbanding kepentingan peribadi.
“Ia suatu sifat kepimpinan yang semakin jarang tetapi amat diperlukan dalam landskap politik semasa.
“Keputusan untuk kekal sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia secara sepenuh masa adalah isyarat jelas sayap parti mesti dipimpin dengan fokus, ketegasan dan kebebasan bersuara tanpa sebarang kekangan kepentingan pentadbiran,” katanya.
Selain itu, katanya, Pemuda UMNO bukan sekadar sayap pelengkap, bahkan benteng hadapan parti berfungsi sebagai suara nurani, pendesak reformasi dalaman dan barisan terawal mempertahankan maruah agama, bangsa dan negara.
“Saya menolak sebarang cubaan untuk memutar belit keputusan ini yang digambarkan sebagai akibat tekanan, kelemahan atau kegagalan politik.
“Hakikatnya, langkah ini memperlihatkan keteguhan prinsip seorang pemimpin muda yang sanggup melepaskan kedudukan demi memastikan pendiriannya kekal konsisten, berani dan tidak terikat kepada kompromi kuasa.
“Inilah contoh kepimpinan yang berani berdiri tegak ketika ramai memilih jalan selamat,” katanya.
Katanya lagi, dalam suasana politik yang semakin mencabar, umat Melayu dan generasi muda Islam menuntut kepimpinan yang tegas, jelas hala tuju serta tidak tunduk kepada tekanan kepentingan jangka pendek.
“Keputusan Dr. Akmal mencerminkan aspirasi tersebut, iaitu kepimpinan yang berani menyuarakan kebenaran, mempertahankan prinsip dan mendepani cabaran walau berdepan risiko politik.
“Saya yakin terhadap kepimpinan Dr. Akmal akan terus memperkukuh peranan sayap ini sebagai pemangkin kebangkitan parti, ruang perjuangan pembelaan isu rakyat serta wadah penyatuan anak muda Melayu Islam.
“Pemuda UMNO mesti kekal progresif dalam pendekatan, namun teguh dalam prinsip, berani dalam pendirian dan konsisten dalam perjuangan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau turut menyokong sepenuhnya dan tidak berbelah bahagi terhadap kepimpinan Dr. Akmal sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia.
“Saya percaya beliau akan terus memimpin dengan keberanian, kejelasan visi serta ketegasan prinsip demi memastikan Pemuda UMNO kekal relevan, dihormati dan menjadi kekuatan sebenar parti dalam menghadapi cabaran masa hadapan.
“Prinsip mesti didahulukan. Amanah mesti dipertahankan. Perjuangan tidak boleh digadaikan demi jawatan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















