KUALA LUMPUR – Tiada unsur kecuaian dikesan setakat ini dalam kejadian letupan kompresor pendingin hawa di sebuah universiti swasta di Bukit Damansara dekat sini yang mengorbankan seorang pelajar lelaki, Isnin lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, siasatan awal tidak menemukan sebarang bukti yang menunjukkan berlaku kecuaian namun siasatan menyeluruh tetap dijalankan dari pelbagai sudut.
Menurut beliau, kes berkenaan masih diklasifikasikan sebagai laporan kematian mengejut (SDR) dan klasifikasi itu boleh diubah sekiranya siasatan lanjut mendapati wujud unsur jenayah atau kecuaian.
“Setakat ini belum lagi (kesan unsur kecuaian). Walau bagaimanapun siasatan akan melihat kepada semua sudut. Kalau ada kecuaian yang menyebabkan kemalangan, ada kesalahan yang boleh kita siasat, kita akan maklum,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Cheras di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan kejadian kira-kira pukul 11.40 pagi Isnin lalu mengakibatkan seorang pelajar lelaki berusia 24 tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) manakala sembilan individu lain cedera.
Mangsa dikenal pasti sebagai Soo Yu Juan, pelajar tahun ketiga Kejuruteraan Mekanikal Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) yang sedang menjalani latihan industri di universiti swasta berkenaan. – MalaysiaGazette
















