KUALA LUMPUR – Penjenamaan semula UMNO secara menyeluruh menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-16 merupakan pendekatan yang dilihat mampu meraih keyakinan masyarakat terhadap parti itu.
Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Mohd Hairi Mad Shah berkata, ia dilihat strategi yang berlandaskan keperluan semasa terhadap landskap politik tanah air khususnya untuk parti tunjang Melayu itu.
Dalam masa yang sama, beliau yakin para perwakilan yang hadir pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 hari ini setuju dengan cadangan Penubuhan Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa bagi menerima kemasukan atau penyertaan semula mana-mana pihak baik secara individu atau secara en bloc ke dalam parti itu.
“Salah satu pendekatan presiden berkaitan kembalikan rumah bangsa ini dan disokong penuh oleh perwakilan dan semestinya apabila penyatuan ini dibuat secara terbuka kepada umum ini menunjukkan keterbukaan presiden yang tidak berbelah bahagi tanpa ada paksaan.
“Jadi saya lihat juga salah satu yang ingatkan kepada perwakilan adalah penjenamaan semula komponen BN mahupun UMNO untuk kita menggalakkan keyakinan orang luar terhadap UMNO yang sentiasa menekankan pembelaan khususnya orang Melayu kepada,” katanya Ketika ditemui di Pusat Dagangan Dunia (WTCKL), hari ini.
Ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 hari ini, Ahmad Zahid telah menggariskan tiga langkah yang disebutnya sebagai ‘Pemugaran Upaya Politik UMNO’.
Langkag itu bagi memperkukuh pasak perjuangan parti itu supaya mampu menyediakan landasan untuk terus maju dengan lebih terarah. – MalaysiaGazette
















