Seorang lelaki Pakistan ditahan, sebuah premis kedai runcit turut diserbu.

BESUT – Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya mematahkan dua kes penyeludupan rokok tidak bercukai di Kuala Besut, di sini semalam.

Menerusi Op Taring Alpha 1 yang dijalankan semalam, sebanyak 86,200 batang rokok putih pelbagai jenama telah dirampas selain sebuah kereta jenis Honda City dengan keseluruhan rampasan bernilai RM175,170.00.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, anggotanya mengesan dan menahan kereta jenis Honda City itu kerana dipandu dalam keadaan mencurigakan di Jeti Kuala Besut kira-kira jam 5.30 pagi semalam.

“Pemeriksaan mendapati pemandu merupakan lelaki warganegara Pakistan berusia 34 tahun. Pemeriksaan di bahagian belakang pemandu membawa kepada penemuan muatan kotak-kotak coklat disyaki sebagai rokok seludup,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Gambar muatan kotak coklat disyaki berisi rokok tidak bercukai

Beliau berkata, hasil soal siasat suspek membawa kepada serbuan ke sebuah premis kedai runcit di Kampung Alor Peroi, Kuala Besut, di sini dan menemukan beberapa kotak warna coklat di bahagian hadapan premis tersebut yang juga disyaki mengandungi rokok putih tidak bercukai.

Ahmad Radzi berkata, kesemua barang rampasan dan suspek telah dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polid Daerah (IPD) Besut untuk tindakan susulan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(E) akta Kastam 1967,” jelasnya.

Menurutnya, hasil operasi itu juga berjaya memutuskan rangkaian sindiket pengedaran serta penyeludupan rokok tidak bercukai di sekitar Pantai Timur Semenanjung Malaysia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast