Mohd Rosdi (kanan) dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Cheras yang baharu menggantikan Aidil (kiri), dengan disaksikan Fadil, di IPD Cheras pada Jumaat.

KUALA LUMPUR – Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud dilantik sebagai Ketua Polis Daerah (KPD) Cheras yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Beliau menggantikan Senior Asisten Komisioner Aidil Bolhassan yang yang dinaikkan pangkat Ketua Penolong Pengarah Kepolisan Am, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman.

Majlis serah terima tugas berlangsung di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras sambil disaksikan oleh Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus.

Mohd Rosdi mengharapkan kerjasama seluruh warga IPD Cheras termasuk petugas media bagi memastikan kesinambungan legasi kecemerlangan kepimpinan terdahulu dapat diteruskan.

Sementara itu, Fadil berkata, jawatan Ketua Polis Daerah menuntut tahap kepimpinan yang tinggi khususnya dalam mendepani cabaran keselamatan serta trend jenayah yang sentiasa berubah seiring peredaran masa.

“Sehubungan itu, saya menyeru seluruh warga IPD Cheras, khususnya pegawai, anggota dan pegawai awam agar memberikan sokongan padu serta kerjasama sepenuhnya kepada Mohd Rosdi selaku Ketua Polis Daerah Cheras yang baharu dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang telah dipertanggungjawabkan oleh pucuk pimpinan pasukan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast