GEORGE TOWN – MUDA Pulau Pinang menyuarakan kebimbangan terhadap keupayaan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) untuk menampung pertambahan jumlah penumpang berikutan kebergantungan operasinya kepada satu landasan tunggal yang mencetuskan kesesakan ruang udara serta kelewatan penerbangan.
Pengerusinya, Andika Putera berkata, projek naik taraf LTPP bernilai RM1.2 bilion yang sedang dilaksanakan oleh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) bersama kerajaan negeri adalah langkah positif namun masih tidak mencukupi selagi isu kapasiti landasan tidak ditangani.
“Keadaan semasa LTAPP yang beroperasi dengan satu landasan tunggal telah menyebabkan kekerapan kelewatan penerbangan.
“Kesesakan ruang udara serta insiden pesawat terpaksa berlegar di udara semakin kerap berlaku,” katanya dalam kenyataan media.
Mengulas lanjut. Andika turut mempersoalkan kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Negeri,Wong Hon Wai yang menganggarkan lebih lapan juta pelancong akan melalui LTAPP sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
Katanya, sumber data anggaran itu perlu diperjelaskan sama ada ia bersandarkan unjuran rasmi MAHB, data ketibaan sebenar atau sekadar sasaran promosi pelancongan dan unjuran peningkatan jumlah pelancong tanpa pelan tindakan operasi yang jelas adalah tidak bertanggungjawab.
“Sehubungan itu, perancangan jangka panjang LTAPP perlu memberi keutamaan kepada peningkatan kapasiti landasan dan taxiway, termasuk kajian serius terhadap pembangunan lapangan terbang tambahan atau fasiliti sokongan di Seberang Perai sekiranya kekangan ruang di pulau berterusan.
“Isu berkenaan bukan tanggungjawab kerajaan negeri semata-mata dan memerlukan tindakan segera Kerajaan Persekutuan, khususnya Kementerian Pengangkutan dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
“Tanpa tindakan segera, sasaran menampung sehingga 12 juta penumpang setahun berisiko menjadi liabiliti yang menjejaskan keselamatan, kecekapan dan reputasi Pulau Pinang sebagai pintu masuk antarabangsa,” katanya. – MalaysiaGazette
















