Ketua UMNO Bahagian Selayang, Datuk Hasnal Rezua Merican menyampaikan perbahasan pada Persidangan Perhimpunan Agung UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto SADIQ SANI, 16 JANUARI 2026

KUALA LUMPUR – DAP tidak akan dapat mencapai apa-apa dalam tuntutan berpaksikan agenda politik mereka selagi UMNO berada di dalam Kerajaan Perpaduan.

Ketua UMNO Bahagian Selayang, Datuk Hasnal Rezua Merican Habib Merican berkata, keberadaan UMNO di dalam Kerajaan Perpaduan sebagai benteng mempertahankan kepentingan khususnya berkenaan Melayu dan Islam.

Menurut beliau, perkara itu dibuktikan apabila UMNO lantang menentang tuntutan-tuntutan DAP antaranya dalam desakan supaya diadakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT); pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC); pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) dan banyak lagi.

“Bukan bermakna apabila DAP membuat tuntutan maka UMNO dilihat sudah gagal dan tidak berani melawan. Kita tidak beri laluan, tidak ada apa yang diminta DAP di dalam kerajaan yang mereka berjaya laksanakan, jadi mengapa kita masih dipanggil `UMDAP’?

“Disebabkan UMNO berada di dalam kerajaanlah, maka segala tuntutan-tuntutan DAP itu gagal, jadi kita sepatutnya berasa bangga,” katanya berucap mencadangkan usul perbahasan ucapan dasar Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

Sementara itu, Hasnal Rezua Merican berharap lebih ramai ahli-ahli UMNO yang meninggalkan parti tersebut kembali semula bersama perjuangan parti itu menerusi inisiatif Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa seperti diumumkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi ucapan dasarnya hari ini.

Tambah beliau, inisiatif itu juga berjaya membawa pulang semula bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin ke pentas PAU 2025 selepas tiga tahun semalam ketika menghadiri perhimpunan sayap Pemuda UMNO.

“Kita mesti berlapang dada menyambut kepulangan mereka yang ingin kembali semula ke dalam parti ini kerana inilah rumah bangsa di mana tempat kita bernaung,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast