KUALA LUMPUR – UMNO Kedah tidak menolak sebarang kemungkinan untuk bekerjasama dengan Pas negeri itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Timbalan Ketua UMNO Pokok Sena, Noran Zamini Jamaluddin berkata, semua itu tidak mustahil kerana sebarang kemungkinan boleh berlaku dalam politik.
Apatah lagi, katanya, ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid menyentuh penubuhan Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa bagi menerima kemasukan atau penyertaan semula mana-mana pihak baik secara individu atau secara en bloc ke dalam parti itu.
“Saya melihat daripada lenggok bahasa Presiden UMNO, sebarang kemungkinan boleh berlaku. Sebagaimana kita bekerjasama dengan PH (Pakatan Harapan), tidak mesti UMNO juga mungkin menimbulkan perdekatan bekerjasama dengan pihak Pas Kedah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui MalaysiaGazette di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Pusat Dagang Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini hari ini.
Dalam ucapan alam ucapan dasar presiden pagi tadi, Ahmad Zahid berkata, usaha itu selaras dengan peranan dan tanggungjawan UMNO sebagai `Rumah Bangsa’ iaitu medan untuk menyatukan kembali orang-orang Melayu.
Menurutnya, politik Melayu-Islam tidak boleh terus berselerak dan penyatuan itu bukan dengan retorik amarah atau dengan dendam sejarah tetapi dengan haluan yang jelas serta jiwa yang besar.
Mengulas lanjut, Noran Zamini yang juga Pewakilan Kedah berkata, UMNO negeri itu perlu berpijak di bumi yang nyata walaupun telah memulakan satu Sekretariat Pakatan Harapan Barisan Nasional (PHBN) untuk menjalin kerjasama.
Namun malangnya, sekretariat itu tidak berjalan dengan baik malahan pejabat PHBN di pejabat UMNO Kedah itu sudah menjadi pejabat yang usang.
“Tidak ada komitmen daripada PH untuk benar-benar menggerakkan sekretariat tersebut. Jadi ini merupakan satu halangan yang tidak membolehkan kita mengatur gerak kerja yang lebih teratur.
“Sebab itu saya minta supaya Presiden UMNO berundinglah dengan PH, bertanya mereka berterus terang. Saya gunakan dalam bahasa UMNO itu sahaja.
“Kalau padi katakan padi, tidak hamba tertampi-tampi. Kalau sudi katakan sudi, tidak kami ternanti-nanti. Kalau betul sudi untuk bekerjasama dengan UMNO, silakan.
“Kalau tak nak pun, pinggan tak retak, nasi tak dingin. Kalau mereka tak nak, kita pun tak ingin, mereka perlu buat keputusan sama ada hendak atau pun tidak kerana memudahkan UMNO mengatur dia punya gerak kerja untuk menghadapi Sanusi (Menteri Besar Kedah) di sana. Dan mungkin kita ada perkiraan perbincangan tertentu.
“Kalau mereka tak mahu, mungkin UMNO ada langkah tersendiri sama ada untuk berbincang dengan Pas Kedah atau pun tidak,” katanya. – MalaysiaGazette
















