KUALA LUMPUR – Sentimen perpaduan di Sabah yang sangat tulen perlu dijadikan model untuk penyatuan di Semenanjung, menurut Ketua Pemuda UMNO Bahagian Lahad Datu, Datuk Seri Dr Anil Sandhu.
Beliau berkata, di Sabah hubungan yang baik terjalin walaupun mempunyai pelbagai etnik dan agama.
“Saya lihat di Semenanjung ini tidak ada pilihan selain mengekalkan kunci perpaduan jika tidak mahu melihat negara ini hancur dan berpecah-belah seperti yang berlaku di luar negara.
“Semua pemain politik seharusnya mempunyai boundary (sempadan) dalam berhujah.
“Perbezaan ideologi parti tidak seharusnya menjadi lesen untuk menghina peribadi atau kaum tertentu,” katanya menerusi program SKOP MG bersempena Perhimpunan Agung UMNO 2025.
Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Kunak berkata, setiap parti ada kekuatan dan penyokong sendiri, cuma jangan sampai melanggar sensitiviti umum yang boleh memecah-belahkan rakyat.
“Cerita pasal parti, ceritalah, tapi jangan cerita pasal kaum atau peribadi. Itu tidak sesuai. Kita patut fokus kepada apa yang kita boleh buat untuk rakyat, bukan apa yang kita boleh gaduhkan,” katanya.
Sementara itu, Anil turut bersetuju dengan saranan mengenai penyatuan rumah besar yang disebut Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Saya sokong gagasan ‘Rumah Besar UMNO’ kerana inilah detik terbaik untuk menjahit semula hubungan yang koyak demi kelangsungan parti dan negara.
“Sudah tiba masanya rayuan terbuka dilakukan agar barisan pemimpin sama ada lama atau baru dapat mengetepikan ego masing-masing demi kepentingan generasi akan datang.
“Tak payahlah ego lagi, nak gaduh-gaduh. Kita ini sesama manusia juga, esok-esok kita akan tinggalkan dunia ini. Apa yang kita nak tinggalkan untuk generasi muda kalau bukan contoh perpaduan yang baik?
“Jika kita tidak tunjukkan sekarang, mereka yang akan jadi mangsa,” tambahnya lagi.
Jelasnya, politik perpaduan perlu bermula daripada hati.
“Kalau hati kita ikhlas nak bersatu, InsyaAllah negara kita akan lebih stabil. Saya selalu katakan, bersetuju untuk tidak bersetuju.
“Kita boleh berbeza pendapat, tapi jangan sampai menghina atau mengguris hati sesama kita sebagai rakyat Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette
















