ROMPIN – Dua pekerja ladang kelapa sawit warganegara Bangladesh maut apabila lori dinaiki mereka terbabas di Jalan Selancar-Redong di Kampung Perwira Jaya di sini kira-kira 2.52 petang tadi.
Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, lori membawa muatan barangan racun kelapa sawit yang dinaiki empat lelaki warganegara Bangladesh itu dalam perjalanan dari arah Felda Redong menghala ke Felda Selancar.
“Apabila sampai di tempat kejadian, lori dipandu lelaki warga Bangladesh berusia 45 tahun itu yang sedang cuba memintas kenderaan lain telah hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan sebelah kiri,” katanya dalam kenyataan.
Akibat kemalangan tersebut, penumpang hadapan dan penumpang belakang lori bernama Me Kader, 34, dan Md Dalim, 30, meninggal dunia di tempat kejadian.
Sementara itu, seorang lagi penumpang belakang lori, Mohamad Askar, 41 mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.
Sharif Shai berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Muadzam Shah bagi tujuan bedah siasat manakala mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Segamat untuk diberi rawatan lanjut.
“Hasil siasatan awal mendapati, kemalangan berpunca daripada kecuaian pandu lori yang cuai ketika memandu sehingga menyebabkan kemalangan berlaku.
“Pemandu lori didapati tidak mempunyai lesen memandu. Pemilik akan diambil tindakan kerana membenarkan kenderaan dipandu oleh pemandu yg tiada lesen memandu,” tambahnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette
















