Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Mohamad Sollehin Mohamad Tajie bercakap pada MalaysiaGazette di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 16 JANUARI 2026.

KUALA LUMPUR – Keberadaan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan sehingga ke hari ini bagi memastikan hak-hak orang Melayu tidak tergugat meskipun wujud sentimen yang dimainkan seolah-olah parti Melayu itu sudah hilang arah tuju.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Mohamad Sollehin Mohamad Tajie berkata, ia juga bagi memastikan Kerajaan Perpaduan menghormati prinsip perjuangannya melibatkan kepentingan orang Melayu dan Islam.

“Kita mahu kerajaan hari ini menghormati prinsip perjuangan parti UMNO walaupun UMNO dilihat lantang dalam beberapa isu seperti UEC, Datuk Seri Najib Razak, kita juga lantang isu UNESCO yang cuba dibuat kepada Kampung Bharu.

“UMNO akan kekal dalam Kerajaan Perpaduan untuk meneruskan kestabilan politik dengan syarat UMNO dihormati dan tidak dilihat sebagai pelengkap, sebaliknya sebagai tulang belakang penting kerajaan,” katanya ketika ditemui pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di sini hari ini.

Sollehin juga berkata, kepada realiti yang terpaksa ditanggung UMNO apabila berada dalam kerajaan hari ini terpalit dengan sentimen UMDAP.

“Semua itu meluntur dan menyebabkan kemerosotan undi Melayu kepada UMNO,” katanya.

Beliau juga menyambut baik inisiatif Presiden UMNO untuk menyatupadukan orang Melayu melalui Rumah Bangsa.

“Ia akan membuka ruang kepada semua ahli parti yang sebelum ini lompat, yang mungkin tersalah arah dan meninggalkan UMNO untuk kembali ke pangkuan parti,” katanya.

Selain itu, katanya, bagi memastikan kesepaduan dalam UMNO, musyawarah nasional selaras dengan usaha dan denyut nadi agar parti Melayu itu tidak hilang arah dalam pilihan raya akan datang.

“Hari ini kita bercakap tentang kecelaruan politik dan kepelikan politik, kita tengok apa yang berlaku di Sabah sebelum pilihan raya di mana kita tidak bersama dengan GRS tetapi selepas pilihan raya, ia berlaku sebaliknya di mana UMNO menjadi sebahagian daripada kerajaan.

“Kita tidak terkejut dinamika politik, di pusat mungkin berbeza dengan negeri, ia berbeza-beza dan UMNO perlu bersedia ke arah itu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast