Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan bercakap pada sidang media berkenaan Perhimpunan Agung UMNO 2025 di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 17 JANUARI 2026.

KUALA LUMPUR – Pengundi diingatkan supaya lebih berfikir panjang ketika membuat pilihan politik kerana kesilapan mengundi bukan sekadar soal populariti sebaliknya menentukan hala tuju negara untuk tempoh lima tahun akan datang.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, budaya mengundi berasaskan emosi atau sentimen sementara perlu dihentikan kerana implikasinya ditanggung seluruh rakyat.

“Kita bukan mengundi seperti Akademi Fantasia. Ini bukan undi siapa paling glamour atau paling kuat jerit. Kita mengundi untuk membentuk kerajaan dan negara akan menanggung akibat jika tersalah membuat keputusan,” katanya.

Mohamad berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri sesi ramah mesra bersama pengamal media di Laman Media sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad menegaskan, Wanita UMNO kekal sebagai barisan hadapan parti dalam menjaga kebajikan rakyat khususnya berdepan tekanan kos sara hidup di peringkat akar umbi.

Menurut beliau, peranan Wanita UMNO melangkaui wacana politik dan perlu tertumpu kepada isu harian yang benar-benar dirasai rakyat.

“Wanita UMNO perlu menjadi penjaga ekonomi dapur rakyat. Pendekatan mesti bersifat sentuhan peribadi. Kalau kita boleh masuk dapur rumah orang, itu tanda kita diterima dan dipercayai,” ujarnya.

Beliau berkata, keupayaan wanita parti memahami isu bekalan makanan, harga barang dan tekanan ekonomi harian menjadi kekuatan utama UMNO dalam membina semula kepercayaan rakyat.

“Biar orang sibuk berpolitik tapi bila beras di rumah habis, wanita UMNO yang sampai dulu. Itulah makna sebenar menjaga ekonomi dapur rakyat,” katanya.

Mengulas peranan sayap parti, Mohamad berkata, Pemuda UMNO perlu bertindak sebagai penyemak imbang terhadap dasar kerajaan di semua peringkat tanpa dikongkong.

“Pemuda adalah tenaga parti. Kalau tangan dan mulut pemuda diikat, parti akan hilang kekuatannya,” tegas beliau.

Sementara itu, Puteri UMNO pula dipertanggungjawabkan untuk menggerakkan kempen digital dan perang siber selari dengan realiti politik moden yang semakin tertumpu di alam maya.

“Kita tak boleh hanya bergantung kepada ceramah. Dengan satu klik, mesej boleh sampai kepada jutaan orang. UMNO mesti bergerak ke arah pendigitalan, menjadi e-UMNO,” katanya.

Mohamad turut menegaskan, generasi muda perlu dibimbing supaya memahami asas perjuangan politik dan tanggungjawab sebagai pengundi, bukan sekadar mengikut arus atau persepsi sementara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast