Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir

KUALA LUMPUR – Penyatuan ummah dan kestabilan negara kekal sebagai teras utama perjuangan UMNO selaras dengan prinsip penubuhan parti yang berlandaskan amanah, Perlembagaan dan Maqasid Syariah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir berkata, kekuatan politik Melayu-Islam hanya dapat dipertahankan melalui kesatuan hati dan fikiran, bukan melalui perpecahan atau sentimen sempit yang melemahkan ummah.

“UMNO adalah rumah bangsa. Tempat orang Melayu kembali bersatu walau berdepan perbezaan dan perselisihan.

“Lidah lagi tergigit, inikan pula adik-beradik. Maka penyatuan adalah jalan ke hadapan,” katanya menerusi satu kenyataan kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Beliau juga berkata, UMNO bukan milik mana-mana individu, sebaliknya amanah bersama seluruh ahli parti serta semua sayapnya termasuk Wanita, Pemuda dan Puteri.

“Suara akar umbi sentiasa didengar dan dijadikan asas dalam setiap keputusan parti,” katanya.

Dalam pada itu, kata Zaidy, UMNO kekal melaksanakan amanah dengan penuh tanggungjawab dalam Kerajaan Perpaduan serta berpegang teguh kepada perjanjian dan semangat perjanjian demi kestabilan politik negara.

“UMNO menolak sebarang bentuk pengkhianatan, politik adu domba dan usaha yang boleh meretakkan kesepakatan.

“Justeru semua pihak diseru agar tidak menjadi batu api sama ada dari dalam mahupun luar parti kerana keputusan yang diambil melibatkan kepentingan negara dan ummah,” katanya.

Selain itu, katanya, dalam menghadapi dinamika politik semasa, rakyat tidak menolak agenda Melayu-Islam, sebaliknya menolak hipokrasi.

“Sehubungan itu, UMNO akan terus tampil sebagai suara Melayu progresif yang menyatukan nilai tradisi dengan keperluan masa depan tanpa menggadai prinsip perjuangan,” katanya.

Katanya lagi, UMNO akan memperkukuh usaha penyatuan melalui penubuhan Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa, pewujudan Musyawarah Nasional, serta inisiatif pemulihan keyakinan rakyat secara menyeluruh dan berwibawa.

“UMNO adalah amanah yang perlu dipikul bersama. Hanya dengan kesatuan, kejujuran dan kebijaksanaan, penyatuan ummah dapat diperkukuh dan masa depan negara dapat dipertahankan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast